Keperluan tenaga kerja mahir sektor makanan perlu perhatian

Iklan
Kerajaan digesa memberi perhatian terhadap keperluan tenaga kerja mahir dan tenaga pakar dalam sektor makanan. - Foto 123RF (Gambar kecil: Nordin)

IPOH - Kerajaan digesa memberi perhatian terhadap keperluan tenaga kerja mahir dan tenaga pakar dalam sektor makanan khususnya pertanian untuk memastikan rantaian ekosistem agromakanan terjamin.

Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW), Nordin Abdul Malek berkata, bagi tujuan itu, pembangunan pendidikan dan latihan kemahiran sumber manusia yang dilihat sangat kritikal ketika ini perlu diberikan tumpuan segera dalam menentukan sekuriti makanan negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai institusi yang berpengalaman, IGROW menyokong sebarang usaha kerajaan untuk memastikan sekuriti makanan di Malaysia terjamin akibat pelbagai cabaran global seperti yang dilaporkan media hasil mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) baru-baru ini.

"Oleh itu, kita ingin mencadangkan beberapa langkah berkaitan antaranya, bekerjasama dengan Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) untuk menjalankan program keusahawanan berpakej jangka pendek bagi melahirkan usahawan tani terlatih.

Iklan

"Kerajaan juga boleh membangunkan model latihan pertanian komuniti yang dilihat mampu mengatasi masalah kebergantungan tenaga kerja asing dan penguasaan kartel," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Nordin berkata, selain itu, kerajaan juga perlu memperkenalkan segera program pemupukan minat dan bakat kemahiran dalam bidang sekuriti makanan di peringkat prasekolah hingga menengah sama ada dalam bentuk kurikulum atau kokurikulum.

Iklan

Jelasnya, kesemua langkah tersebut merupakan sebahagian pelan jangka sederhana dan jangka panjang dalam menentukan rantaian ekosistem yang terjamin serta selamat untuk sekuriti makanan negara.

Dalam pada itu, Nordin menegaskan, Malaysia juga perlu menyediakan tenaga kerja mahir yang mempunyai tahap pengetahuan dan kemahiran tinggi dalam menangani cabaran perubahan iklim dunia dengan penguasaan ilmu pertanian secara saintifik serta teknikal.

Katanya, sebagai institusi berpengalaman luas dalam sekuriti makanan terutama latihan kemahiran sumber manusia, IGROW sedia untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menjayakan matlamat tersebut.