COSTA Rica melengkapkan senarai 32 negara Piala Dunia di Qatar apabila menewaskan New Zealand 1-0 dalam perlawanan playoff antara benua di Stadium Al Rayyan, Qatar.
Tampil di venue keramat dua kelab sensasi liga Qatar, Kelab Sukan Al-Rayyan dan Kelab Sukan Al-Kharitiyath di pinggir Doha itu, jaringan seawal minit ketiga Joel Campbell yang menyempurnakan hantaran Jewison Bennette sudah cukup untuk menghadirkan penampilan skuad Los Ticos asuhan Luis Fernando Suárez ke temasya bola sepak terbesar dunia pada November ini.
Perlawanan yang menyaksikan penguasaan New Zealand kendalian Danny Hay ternyata Costa Rica berteraskan pengalaman orang lama seperti Campbell yang kini bersama Monterrey di Mexico selain kecemerlangan kapten pasukan merangkap penjaga gol, Keylor Navas bagi menafikan deretan percubaan The All Whites tersebut.
New Zealand yang berusaha gigih untuk bangkit sejak ketinggalan minit ketiga bermula dengan episod pembatalan gol Chris Wood pada minit ke-39 hasil rujukan video bantuan pengadil (VAR) susulan kekasaran Matthew Garbett terhadap Oscar Duarte hingga kepada layangan kad merah diterima Kosta Barbarouses pada minit ke-69 selepas sembilan minit melakukan penampilan di bumi Qatar.
Dua insiden itu menyaksikan tuah ternyata tidak menyebelahi New Zealand dalam cubaan menembusi slot terakhir ke Qatar 2022 menerusi perlawanan playoff antara benua, sebaliknya Costa Rica sekali lagi berjaya mengekalkan status elit ke temasya itu kali ketiga berturut-turut selepas permulaan perlahan di fasa kelayakan lapan pasukan Zon Amerika Utara sebelum ini.
"Sejujurnya skuad ini menunjukkan bagaimana perasaan menjadi pemain yang menggalas tanggungjawab sebagai rakyat Costa Rica.
"Mereka tidak pernah berhenti berjuang untuk ke Qatar 2022 sejak pusingan awal lagi.
"Malah dalam perlahan mereka tetap dan sentiasa memberi 100 peratus dalam setiap perlawanan hingga minit terakhir," kata Surez, yang bangga dengan pemainnya melakar empat kemenangan berturut-turut pada Februari dan Mac untuk mendapat penyertaan playoff terakhir tersebut.
Untuk rekod di Qatar 2022, Costa Rica diundi dalam kumpulan E, dijangka melakukan sepak mula berdepan bersama Sepanyol pada 23 November diikuti Jerman sebelum berdepan Jepun dalam aksi terakhir fasa tersebut.