Waspada pakej ibadah korban palsu

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Orang ramai disaran berwaspada dengan pakej ibadah korban palsu yang diiklankan dengan harga terlalu murah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dijangka pada 10 Julai ini.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata, orang ramai perlu menyemak sama ada syarikat yang menawarkan pakej tersebut berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain menyemak maklumat bank atau nombor telefon pihak pengeluar pakej di laman web semakmule.rmp.gov.my untuk transaksi secara dalam talian.

Iklan
Iklan

"Jika keluar tanda amaran, maka orang awam perlu menjauhkan diri daripada pihak tersebut dan laporkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) supaya iklannya dapat disekat untuk mengelakkan orang ramai terpedaya dengan iklan tersebut,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pihak yang mengeluarkan pakej ibadah korban palsu tidak patut mengambil kesempatan atas niat rakyat untuk beribadah, kerana mereka sudah cukup terbeban dengan masalah harga barang keperluan yang kian meruncing.

Iklan

Yang Dipertua IKRAM Health Malaysia, Dr Mohd Afiq Mohd Nor berkata, orang ramai perlu mengesahkan kewujudan institusi yang menganjurkan program korban itu serta memastikan ia bersih daripada unsur penipuan dan penyalahgunaan wang.

"Pakej korban palsu ini sangat memalukan agama kita kerana menipu orang ramai atas urusan agama yang penting ini demi keuntungan diri sendiri. Saya sarankan berhenti dan bertaubat serta jauhilah daripada urusan seperti ini,” katanya.

Sementara itu Duta Yayasan Maghfirah dan penyanyi, Mohammad Hafiz Hamidun berkata, sudah tiba masanya pihak Jabatan Agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak terlibat memantau dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang menawarkan pakej korban palsu.

Iklan

"Antara tindakan (yang boleh diambil) ialah mewajibkan pihak yang ingin menganjurkan pakej korban untuk mendaftar di bawah jabatan agama negeri masing-masing supaya tidak wujud isu-isu yang tidak diingini.

"Sebaiknya jika kita nak elakkan tertipu, pilihlah pakej korban dari pihak NGO yang berwibawa serta mempunyai maklumat lengkap pada poster yang dipaparkan seperti harga pakej, nama NGO, nombor akaun (bank) yang tepat dan lebih baik jika ada nombor telefon untuk dihubungi,” katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula berkata, pengguna perlu melihat sama ada harga yang ditawarkan untuk pakej korban itu relevan dan tidak tertipu dengan alasan pihak pengeluar.

"Penipuan (seperti) ini bukan sahaja berlaku pada ibadah korban, orang pergi haji pun ada penipuan, umrah pun ada penipuan, jadi kita kena lebih bijak, kalau tidak kita akan jadi mangsa kepada kebodohan dan kejahilan kita sendiri,” katanya. - Bernama