Felda rancang laksana projek tanaman jagung bijian

Iklan
Felda

SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam perancangan untuk melaksanakan projek tanaman jagung bijian di tanah seluas 3,700 hektar dengan kerjasama FGV Holdings Berhad.

Jabatan Komunikasi Strategik Felda berkata, ia bagi membantu menyelesaikan isu kenaikan mendadak harga bekalan makanan untuk ternakan.

Iklan
Iklan

"Projek ini dijangka dapat menyumbang sebanyak lima peratus daripada sasaran kerajaan untuk mengurangkan import jagung bijian negara lantas dapat menstabilkan harga," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, Felda juga akan merancakkan industri ternakan ayam melalui kerjasama ladang kontrak dengan Ayamas Food Corporation Sdn Bhd.

Iklan

"Projek dengan pelaburan berjumlah RM23 juta ini menyasarkan penghasilan 640,000 ekor ayam setiap pusingan di lapan unit reban dua tingkat.

"Projek yang dilaksanakan melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF) akan dijalankan di kawasan seluas 20 ekar di Felda Tun Ghaffar Bukit Senggeh, Melaka," katanya.

Iklan

Selain itu katanya, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh Felda dengan yang terbaharu inisiatif Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang diperkenalkan pada tahun 2019.

Menurutnya, PPP dilaksanakan sebagai satu instrumen bagi mempelbagaikan serta meningkatkan pendapatan peneroka melalui aktiviti bukan berteraskan komoditi sawit dan getah.

"Ini bertindak sebagai serampang dua mata bagi membantu menyokong Dasar Sekuriti Makanan Negara dengan meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) sekali gus mengurangkan kebergantungan import makanan negara.

"Sehingga kini, sebanyak 8,543 projek PPP telah diluluskan untuk dijalankan secara individu dan juga melalui penglibatan koperasi serta badan peneroka.

"Projek-projek ini telah memberi manfaat kepada 56,959 orang peneroka dan generasi baharu Felda," ujarnya.

Jelasnya, 57 peratus daripada projek PPP ini adalah melibatkan aktiviti penternakan ayam kampung dan ternakan ruminan manakala 41 peratus melibatkan aktiviti pertanian seperti tanaman cili dan timun secara fertigasi serta cendawan.

Di samping itu katanya, Felda dengan kelebihan tanah yang luas mempunyai potensi yang baik untuk menjadi hab lembu pedaging seperti dilaksanakan di Felda Sahabat, Sabah.

"Secara keseluruhan, ternakan lembu secara integrasi ini akan melibatkan penggunaan tanah seluas 32,000 hektar.

"Bagi ternakan ruminan ini, Felda dijangka dapat menyumbang sebanyak 2.5 peratus daripada SSR nasional," katanya.