Jangan politikkan projek empangan Nenggiri: Mohd Amar

Iklan
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menegaskan supaya semua pihak tidak memanipulasi fakta dan mempolitikkan Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang terutama berkaitan aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata, banyak pihak menuduh seolah-olah Kelantan menebang balak tanpa sebarang pengawasan, namun sebenarnya setiap aktiviti pembalakan dilakukan berdasarkan kuota Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan segala aktiviti itu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan kuota yang dibenarkan di negeri ini.

Iklan
Iklan

"Apabila diwartakan sebagai kawasan empangan, memanglah kami ambil kayu dulu keluar sebab kalau tidak ia akan ditenggelami air, kalau tenggelam tidak boleh buat apa-apa.

"Kami buat perbincangan dengan Tenaga Nasional Berhad terlebih dahulu sebagai contoh kawasan yang akan ditenggelami air itu terdapat bahan mineral jadi kami beri kebenaran kepada syarikat yang sudah ada kelulusan untuk keluarkan mineral dulu.

"Pembalakan ini pula ada peraturannya sebagai contoh saiz kayu yang boleh ditebang dan tidak boleh serta mempunyai tanda yang diletakkan oleh Jabatan Perhutanan, jadi apabila ditebang untuk dibawa keluar pihak terbabit akan periksa terlebih dahulu sama ada kayu yang ditebang itu dibenarkan atau tidak," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco negeri di Kota Darulnaim, di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai terdapat dakwaan daripada pihak tertentu mengenai pencerobohan balak yang berlaku di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, beliau tidak menafikan berlakunya kecurian balak di Kelantan tetapi pihaknya akan terus mengambil tindakan sekiranya terdapat laporan berhubung kes berkenaan.

Semalam, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan, berteraskan tiga matlamat utama iaitu sebagai penjanaan elektrik, tebatan banjir serta sumber air bersih selain bagi tujuan ekopelancongan.

Iklan

Beliau berkata, pembinaannya turut mendapat sokongan lebih 80 peratus responden berdasarkan beberapa kajian yang dibuat, dan ketika ini tidak ada sebab untuk kerajaan menghentikan pembinaannya.

Projek bernilai RM5 bilion itu dijangka mula menjana elektrik pada pertengahan 2027 dan bakal meningkatkan kapasiti elektrik Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Semenanjung Malaysia sekali gus berperanan sebagai penggerak utama peralihan industri tenaga negara dan mengukuhkan usaha memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap untuk rakyat dan negara. - Bernama