SEREMBAN- Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan akan mempertimbangkan keputusan sama ada membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan selepas pembentangan belanjawan 2023 pada Oktober ini.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu mengambil kira jangka masa yang hampir sehingga tempoh penggal tamat pada pertengahan tahun hadapan.
"Kita di peringkat negeri akan buat keputusan jika pilihan raya pada bulan November ia dah hampir dengan tamat tempoh kita (tempoh tamat penggal) kita akan pertimbangkan macam mana.
"Kita akan bincang dengan keenam-enam negeri supaya ada keputusan bersama, sama ada ikut serta pilihan raya peringkat persekutuan ataupun negeri," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Pasca Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.
Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan bagaimanapun berpandangan pilihan raya wajar diadakan selepas tamat tempoh penggal Parlimen dan DUN masing-masing.
"Ia berikutan dalam masa sekarang rakyat masih memerlukan sokongan daripada kerajaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini terutamanya dengan peningkatan kos hidup.
"Rakyat dalam keadaan susah sekarang dengan harga barang yang meningkat, harga ayam tak stabil lagi, harga makanan meningkat daripada satu barang kepada satu barang. Harga minyak masak, tepung, malah roti canai kosong pun dah RM1.70.
"Saya harap biarlah sampai ke hujung (tamat tempoh penggal), selepas kita dapat bantu semua rakyat, kemudian kita serahkan kepada mereka dan menghormati demokrasi. Kita tidak mahu nanti, rakyat rasa kecewa dan apabila buat pilihan raya umum, mereka tidak keluar mengundi," katanya.
Media pada Selasa melaporkan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menjangkakan masa terbaik untuk PRU15 adalah sebaik sahaja pembentangan belanjawan 2023 Oktober ini.
Pada Mac lepas, Majlis Presiden PH membuat keputusan tiada sebarang cadangan pembubaran DUN di negeri-negeri yang ditadbir gabungan itu sehingga tamat tempoh pada tahun hadapan.
Pas juga memutuskan untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah hingga tamat tempoh ketiga-tiganya sekiranya PRU15 diadakan pada masa terdekat.