KUALA LUMPUR - Angin berpusar berserta hujan lebat hampir setengah jam telah menumbangkan beberapa pokok dan menghempap lima rumah di Batu 11 Jalan Gombak di sini lewat petang semalam.
Mangsa Mazenah Ahmad, 58, berkata ketika kejadian, dia yang bersama seorang anaknya berada di rumah, sempat melihat melalui jendela, angin berpusar seperti puting beliung telah menumbangkan pokok dan tiang elektrik.
"Angin sangat kencang dan saya nampak hujan berwarna putih yang sangat lebat, sehingga menumbangkan beberapa pokok berhampiran rumah saya dan adik saya."Ketika itu, kami tidak dapat berbuat apa-apa selain berdoa dan salah seorang anak saya sempat melaungkan azan kerana ketakutan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, lapan orang dilaporkan cedera dalam insiden pokok tumbang yang menghempap lima rumah dan kini dirawat di Hospital Selayang, Hospital Orang Asli Gombak dan Hospital Kuala Lumpur.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari meluangkan masa kira-kira sejam melawat 63 mangsa daripada 16 keluarga yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Batu 12 Jalan Gombak di sini pagi ini.
Beliau berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menghulurkan bantuan awal kepada mangsa dan akan membuat penilaian kerosakan rumah penduduk terbabit.
"Bantuan awal kita hulur RM500 kepada setiap keluarga, manakala untuk rumah yang rosak kita akan beri bantuan mengikut nilai kerosakan yang dihadapi,” katanya.
Menurutnya kebanyakan rumah yang rosak akibat dihempap pokok-pokok besar yang tumbang dalam kejadian itu. - Bernama