MAKKAH - Jemaah haji bakal berdepan suhu panas mencecah 48 darjah Celsius, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman.
Beliau berkata, musim panas di Arab Saudi ketika ini, boleh menyebabkan berlaku strok haba sekiranya jemaah haji terlalu terdedah dan kurang minum air.
"Sekarang ini musim haji dalam musim panas yang suhunya agak tinggi antara 38 hingga 48 darjah Celsius dan boleh lagi meningkat.
"Dalam keghairahan jemaah melaksanakan ibadah dan membuat lawatan bersejarah dan sebagainya, mereka harus memberi perhatian supaya tidaklah terdedah kepada cuaca panas yang agak lama dan sentiasa minum air secukupnya,” katanya.
Beliau berkata, demikian ketika ditemui pemberita di bangunan yang menempatkan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) dan penginapan jemaah di Abraj Al Janadriyah, di sini.
Sementara itu, seorang jemaah Zaharri Hassan, 61, yang ditemui berkata beliau biasanya memilih waktu subuh, maghrib dan isyak untuk ke masjid.
"Sebenarnya dalam banyak keadaan saya tetap akan cuba ke masjid kerana ini adalah peluang untuk beribadah yang tak tahu bila lagi akan dapat. Tetapi sekiranya cuaca terlalu panas saya akan cuba kuatkan diri dan memastikan minum air secukupnya,” katanya yang hadir ke Tanah Suci bersama isteri, Jamilah Othman, 54.
Mohamad Bakri Hishamudin, 54 pula berkata beliau akan ke masjid dengan menaiki teksi sekiranya cuaca terlalu panas.
"Memang cuaca panas kita kena reda dan TH pun dah nasihatkan supaya berhati-hati. Saya memang pilih buat umrah pun pada waktu pagi dan membeli barangan keperluan pun di kedai yang terdekat sahaja, katanya.
Dalam perkembangan lain, Syed Saleh berkata dalam keadaan jemaah yang masih belum ramai di Makkah, mereka yang berhasrat ke Masjidil Haram dan membeli barangan perlu sentiasa berwaspada bagi mengelak sebarang kemungkinan.
"Keselamatan diri perlu dijaga dan jika jemaah perlu berjalan dari satu tempat ke satu tempat, bergerak secara kumpulan dan bukannya bersendirian yang boleh sebabkan risiko,” katanya yang turut mengingatkan jemaah supaya sentiasa memakai pengenalan diri dan gelang yang dikhaskan. - Bernama