Kawasan lombong lantanid bukan di hutan simpan, CFS

Iklan
Saarani (dua dari kanan) menyempurnakan pelancaran Pelan Perak Sejahtera 2030 di Hotel Kinta Riverfront, di sini pada Rabu.

IPOH - Kerajaan negeri Perak menegaskan kawasan cadangan bagi perlombongan nadir bumi, lantanid di daerah Hulu Perak bukan berada di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) sebaliknya merupakan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berdasarkan semakan yang dibuat, dakwaan Sahabat Alam Malaysia (SAM) bahawa kawasan tersebut merupakan Central Forest Spine (CFS) juga didapati tidak benar .

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara tersebut disahkan Jabatan Perhutanan Negeri Perak serta pejabat tanah dan galian (PTG).

"Saya minta tolong. Saya hormati kecenderungan mereka (SAM) untuk menjaga keselamatan tetapi tolong semak dengan jabatan yang berkaitan, betulkah ia di dalam HSK? Tanah itu adalah milik SADC, andaian yang mengatakan dilakukan dalam kawasan HSK tak betul.

Iklan

"Saya dah semak memang ia bukan di dalam HSK dan bukan kawasan CFS, jadi isu itu tak berbangkit. Kita minta rujuk dan percayalah dengan pihak autoriti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Perak Sejahtera 2030 di Hotel Kinta Riverfront, di sini pada Rabu.

Saarani berkata, kerja-kerja perlombongan berkenaan masih belum dilaksanakan kerana tidak mendapat kebenaran merancang daripada Majlis Daerah Gerik disebabkan terdapat dokumen serta keperluan lain yang belum diserahkan

Iklan

Menurutnya, walaupun diluluskkan nanti, projek rintis tersebut perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Tanah dan Sumber Asli.

Malah katanya, pemantauan juga akan dibuat oleh jawatankuasa yang dibentuk sepanjang tempoh kerja-kerja melombong dibuat bagi memastikan SOP dipatuhi.

"Masa untuk memulakan operasi bergantung kepada jabatan-jabatan ini menyelesaikan urusan yang berkaitan. Lagi lambat diselesaikan, lambatlah operasi. Harap bulan Ogos, September atau Oktober benda ni boleh selesai sebab kita sangat memerlukan bijih berkenaan.

"Kalau betul ia adalah sumber baharu kepada kerajaan kenapa tidak menggunakannya untuk mendapatkan pendapatan baru untuk kebaikan rakyat Perak," katanya.

Pada Selasa, SAM meminta kerajaan Perak mengkaji semula pelaksanaan projek melombong nadir bumi, lantanid di kawasan Hulu Perak berikutan kesannya kepada alam sekitar serta menimbulkan konflik antara manusia dengan hidupan liar.

Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, kawasan perlombongan seluas lebih 2,000 hektar itu terletak dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 iaitu sebarang pemajuan, pertanian atau pembalakan tidak dibenarkan kecuali aktiviti ekopelancongan, penyelidikan dan pendidikan.

Dakwanya, projek tersebut juga terletak di koridor ekologi yang menghubungkan Hutan Simpan Kenderong dan Hutan Simpan Bintang Hijau yang menjadi habitat kepada hidupan liar terancam termasuk harimau, gajah, beruang matahari dan tapir.