Pemilik kedai emas rugi RM20,000

Iklan
Sufian

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki menggunakan helah hendak melihat koleksi hantaran kahwin sebelum melarikan empat utas gelang emas bernilai RM20,000 milik sebuah kedai emas di Pasar Payang, di sini, pada Selasa lalu.

Menurut sumber, suspek yang berseluar jeans dan memakai baju T putih datang ke kedai emas milik mangsa yang berusia 42 tahun berseorangan kira-kira jam 1 tengah hari.

Iklan
Iklan

"Suspek yang berlagak sebagai pelanggan di kedai itu terus bertanyakan koleksi gelang tangan yang dijual kerana kononnya nak dibeli untuk hantaran perkahwinannya tak lama lagi.

"Tanpa sebarang syak, lelaki itu terus mengeluarkan empat utas tangan emas dan bagi memudahkan 'pelanggan'nya itu membuat pilihan, dia menyusun kesemua barang kemas tersebut di atas kain putih," katanya.

Iklan

Sumber berkata, beberapa minit kemudian, suspek kononnya bersetuju membeli salah satu gelang yang disusun sebelum meminta diletakkan di dalam kotak yang cantik.

"Tanpa berlengah, mangsa yang masih tidak mengesyaki apa-apa terus berpusing ke belakang untuk mengambil kotak yang diminta. Ketika itu suspek mengambil kesempatan melarikan kesemua gelang emas tersebut.

Iklan

"Terkejut dengan tindakan pantas suspek, mangsa nekad mengejarnya tetapi gagal sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu, di sini, untuk tindakan lanjut," katanya.

Akibat kejadian itu, mangsa terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM20,000.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Jelasnya, suspek kini masih diburu dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.