Terbuka Indonesia: Pearly-Thinaah uji pilihan keempat

Iklan
Pearly-Thinaah akan bertemu pilihan keempat dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota pada pusingan kedua Terbuka Indonesia 2022. - Foto Badminton Association Malaysia

PASANGAN pilihan keempat dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota menjadi ujian seterusnya buat beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah di pusingan kedua kejuaraan badminton Terbuka Indonesia 2022.

Pearly-Thinaah menempah slot itu selepas mudah mengatasi cabaran rakan senegara Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing, 21-12, 21-16 dalam masa 33 minit di Stadium Istora Senayan, Jakarta.

Iklan
Iklan

Sementara Fukushima-Hirota mengesahkan kemaraan setelah menewaskan beregu dari Thailand, Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard 21-14, 21-15 dalam aksi 37 minit.

Perjalanan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula terhenti di pusingan pertama apabila tewas kepada bintang Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Iklan

Juara Terbuka Jerman 2022 yang berstatus bukan pilihan itu tewas kepada pilihan keenam tersebut 19-21, 14-21 dalam masa 39 minit.

Beregu campuran Chan Peng Soon-Cheah Yee See turut mara selepas menjinakkan Marcus Ellis-Lauren Smith.

Iklan

Peng Soon-Yee See mengambil masa 40 minit bagi mengalahkan beregu dari Denmark 21-15, 21-16 untuk berdepan gandingan pilihan keempat dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping.

Sementara itu dalam aksi terdahulu, satu lagi pasangan negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sin turut mara selepas hanya mengambil 26 minit bagi mengatasi Jaqueline Lima-Samia Lima, 21-10, 21-5.

Kemenangan ke atas pasangan dari Brazil itu membolehkan Vivian- Chiew Sin menempah slot menentang pasangan dari China, Du Yue-Li Wen Mei.

Du Yue-Wen Mei mara selepas mengambil masa 38 minit menyingkirkan cabaran satu lagi wakil negara, Low Yeen Yuan-Valeree Siow 21-10, 21-14.

Dalam pada itu, gandingan beregu campur negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dikejutkan kekalahan kepada Mathias Christiansen-Alexandra Bøje.

Beregu dari Denmark itu berstatus bukan pilihan dengan mudah menjinakkan Kian Meng-Pei Jing yang juga pilihan ketujuh 21-15 21-16.