Penumpang minta tambah tren

Iklan
Pengguna menunggu giliran untuk masuk ke dalam tren LRT.

PETALING JAYA - Rata-rata pengguna Transit Aliran Ringan (LRT) di sini kecewa dengan kualiti perkhidmatan pengangkutan rel tersebut yang sering mengalami kelewatan dan menghadapi masalah teknikal.

Justeru, seorang pengguna, Muhammad Hussein Nizam, 27, mencadangkan pengurusan LRT mengambil inisiatif dengan menambah jumlah tren atau kekerapan perjalanan bagi menampung lebih ramai penumpang pada waktu puncak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, koc tren LRT yang kecil manakala pengguna ramai menyebabkan keadaan di stesen menjadi sesak susulan penumpang terpaksa menunggu giliran menaiki tren berikutnya.

Muhammad Hussein

"Saya sangat berharap agar tren ini dapat ditambah pada waktu puncak. Kita sedia maklum waktu pagi dan petang memang akan ramai orang. Jika koc sedikit, orang terpaksa menunggu lebih lama. Ini pasti melambatkan perjalanan.

Iklan

"Kadang-kadang ada penumpang terpaksa berdiri berhimpit-himpit di dalam tren kerana takut lambat masuk kerja. Apabila tren terlalu padat, ruang pengudaraan menjadi teruk,” ujarnya.

Jurufoto, Hidayah Azhar, 25, pula berkongsi pengalaman apabila LRT yang dinaikinya terpaksa berhenti sehingga menyebabkan dia lewat 30 minit ke tempat kerja.

Iklan
Hidayah

"Sepatutnya perlu tambah tren dan juga pekerja bagi memastikan tiada masalah yang akan timbul,” ujarnya.

Sementara itu, pelajar, Muhammad Arif Iskandar, 23, berkata, masalah tersebut mengakibatkannya terpaksa mengambil masa sehingga satu jam untuk ke pejabat tempat dia menjalani latihan industri.

Menurutnya, pengangkutan awam tersebut sering kali menghadapi masalah sehingga berlaku kesesakan pada waktu puncak iaitu pagi dan petang.

"Akhir-akhir ini perkara ini selalu berlaku. Dalam dua minggu lepas, tren berhenti secara tiba-tiba pada waktu pagi ketika orang ramai ingin masuk kerja.

"Insiden itu menyebabkan stesen LRT berdekatan rumah saya sesak dan orang ramai terpaksa menunggu lama,” ceritanya.

Sebelum ini, tular di media sosial keadaan di beberapa stesen LRT yang sesak susulan gangguan perkhidmatan tersebut.Muhammad Arif pada masa sama berharap masalah eskalator yang tidak berfungsi di beberapa stesen perkhidmatan rel tersebut dapat diselesaikan segera.

"Perkara ini amat menyukarkan. Kami terpaksa menaiki tangga untuk naik ke tingkat atas stesen.

"Baru-baru ini, saya lihat di Twitter memang ramai orang tidak berpuas hati sebab banyak stesen mempunyai eskalator rosak. Ada yang sehingga berbulan-bulan lamanya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengguna Twitter dengan nama akaun @mathanamuhilan berkongsi beberapa keping gambar memaparkan situasi orang ramai di Stesen LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur yang sedang beratur menanti ketibaan tren sekitar jam 8 pagi Rabu.

Katanya, dia sudah penat apabila terpaksa berdepan dengan keadaan sesak yang berlaku setiap hari.

"Saya telah banyak kali membuat aduan mengenai sistem pengangkutan awam yang lemah di Malaysia. Saya terlalu penat. Lihat sahaja pemandangan sekarang di Pasar Seni.

"Hari kedua di LRT Pasar Seni, orang ramai beratur naik ke eskalator dari MRT Pasar Seni. Orang ramai mungkin terjatuh di atas eskalator kerana ia agak penuh,” ciapnya.

Ciapan tersebut mendapat perhatian netizen yang turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perkhidmatan awam berkenaan.