PAFA serah laporan kongres tahunan kepada PJS

Iklan
Mohd Azhar (tiga dari kanan) menyerahkan laporan kongres tahunan yang berlangsung 28 Mei lalu kepada Mohsinar pada Selasa.

PERSATUAN Bola Sepak Perak Darul Ridzuan (PAFA), telah pun mengemukakan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) termasuk laporan Kongres Tahunan PAFA ke-63 kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS), pada Selasa.

Menurut Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, segala laporan lengkap seperti yang ditetapkan PJS juga telah dilaksanakan mengikut apa yang telah termaktub dalam perundangan dan perlembagaan persatuan.

Iklan
Iklan

"PJS sebelum ini telah memutuskan ahli jawatankuasa PAFA yang sah ketika ini ialah mereka yang dipilih pada sesi 2018-2021.

"Bagaimanapun, PAFA perlu mengadakan pemilihan semula bagi memilih ahli jawatankuasa yang baharu sebelum tamat tempoh penggantungan selama enam bulan.

Iklan

"Alhamdulillah, kita telah pun melaksanakan arahan PJS untuk mengadakan pemilihan baharu pada 28 Mei lalu dan kita telah jemput kesemua 18 ahli gabungan PAFA,” katanya.

Mohd Azhar berkata demikian setelah selesai menyerahkan MYKB kepada Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Mohsinar Abdul Malek di Pejabat PJS di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Selasa lalu.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Presiden PAFA, Datuk Sham Mat Sahat, Mohd Reduan Amir Hamzah (Naib Presiden II) dan Joharuddin Johar Ali (Naib Presiden III) selain beberapa Ahli Jawatankuasa Eksekutif baharu yang dipilih pada Kongres Tahunan ke-63 yang diadakan pada 28 Mei lalu.

Untuk rekod, pada 7 Mei lalu, PAFA digantung selama enam bulan oleh PJS berikutan kemelut yang melanda badan induk bola sepak itu.

Penggantungan berkenaan dibuat bagi membolehkan PAFA membuat langkah-langkah pemulihan oleh Jawatankuasa Eksekutif 2018-2021 bagi mengadakan Kongres Tahunan mengikut perlembagaan.

Sementara itu, Mohd Azhar optimis pihak PJS akan meneliti laporan yang dikemukakan itu dan seterusnya membuat ketetapan dengan segera.

"Laporan yang dihantar hari ini (Selasa), adalah seperti mana yang telah ditetapkan oleh PJS dan kami percaya pihak PJS akan membuat keputusan yang adil dan bijaksana untuk menyelesaikan segera kemelut yang berlarutan ini.

"Keputusan segera ini penting demi pembangunan bola sepak di negeri ini dan PAFA boleh memberikan fokus untuk melahirkan lebih ramai pemain berbakat dari negeri Perak,” katanya.