TONGGAK pertahanan veteran Barcelona, Dani Alves bakal meninggalkan Nou Camp pada musim panas ini setelah skuad Blaugrana itu tidak menawarkan kontrak lanjutan kepadanya.
Menerusi kenyataan di laman instagramnya, Alves berkata, masanya mungkin sudah tiba untuk dia meninggalkan Barcelona dan menyertai pasukan lain sebagai persediaan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Brazil di Piala Dunia Qatar 2022, kelak.
"Kontrak saya tamat pada hujung bulan ini (Jun) dan setakat ini saya tidak ada menerima apa-apa tawaran bagi melanjutkan kontrak berkenaan.
"Sebenarnya, saya masih berminat dan mahu terus beraksi di Nou Camp, tetapi saya juga bersedia sekiranya khidmat saya sudah tidak diperlukan lagi.
"Atau mungkin saya tidak ada dalam perancangan jurulatih Xavi bagi mengharungi saingan musim baharu kelak,” katanya.
Untuk rekod, pemain berusia 39 tahun itu telah beraksi selama lapan tahun bersama Barca sejak 2008 setelah berhijrah dari Sevilla.
Alves kemudiannya menyertai Juventus pada 2016, Paris Saint-Germain (2017), Sao Paolo (2021) sebelum kembali ke Nou Camp musim lalu.
Malah, Alves turut cemerlang membantu skuad Olimpik Brazil memenangi pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, tahun lalu.
Sementara itu, Alves turut berharap dapat menyertai mana-mana pasukan dengan segera setelah meninggalkan Barcelona nanti.
Katanya, perkara itu sangat penting buatnya, kerana mahu mempersiapkan diri untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Brazil di Piala Dunia Qatar 2022.
"Saya juga berhasrat untuk beraksi bersama Brazil di Piala Dunia nanti. Oleh itu, mulai sekarang saya perlu mempersiapkan diri bagi merealisasikan hasrat saya itu,” katanya.