Terengganu rekod 321 calon SPM dapat semua A

Iklan
Abdul Muie (dua dari kiri) menyampaikan slip keputusan SPM 2021 kepada Nurul Nadhirah Husna Shahmuzir, pelajar SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin yang memperoleh 10 A pada Khamis.

KUALA TERENGGANU - Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Terengganu yang diumumkan pada Khamis merekodkan seramai 321 pelajar memperoleh keputusan cemerlang dengan kombinasi gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah berkata, daripada jumlah itu, tujuh pelajar mencatatkan keputusan memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil semasa peperiksaan SPM 2021 pada Mac lalu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, Terengganu juga merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) bagi SPM 2021 adalah 4.72 berbanding GPN kebangsaan iaitu 4.86.

"Seramai 17,206 calon mengambil peperiksaan SPM pada tahun 2021 di 169 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu melibatkan 1,717 petugas," katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2021 di Sekolah Menengah (SM) Sains Kuala Terengganu, di sini pada Khamis.

Iklan

Abdul Muie berkata, seramai 9,674 calon memperoleh keputusan lulus semua mata pelajaran yang diambil.

Selain itu katanya, lapan sekolah turut mempamerkan keputusan baik apabila semua calonnya lulus semua mata pelajaran.

Iklan

Lapan sekolah itu kata beliau adalah SM Sains Kuala Terengganu, SM Imtiaz Kuala Terengganu, SM Sains Sultan Mahmud, SM Sains Dungun, SM Imtiaz Besut, SM Imtiaz Kemaman, SM (Atas) Sultan Zainal Abidin dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Durian Guling.

"Calon SPM 2021 merupakan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Terengganu berjaya merekodkan keputusan cemerlang.

"Saya harap keputusan SPM tahun 2022 nanti akan bertambah baik," katanya.