Tiga sekolah catat pencapaian semua A lebih 30 peratus

Iklan
Md Fiah (dua dari kiri) memegang laporan keputusan SPM 2021 di SMK King George V, Seremban pada Khamis.

SEREMBAN - Tiga sekolah di Negeri Sembilan mencatatkan pencapaian semua A melebihi 30 peratus bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) tahun 2021.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Md Fiah Md Jamin berkata, sekolah berkenaan ialah Kolej Tunku Kursiah, Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohaini dan Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN), Kolej Tunku Kursiah diumumkan sebagai sekolah terbaik di Negeri Sembilan dengan mencatatkan GPN 1.09.

"Seramai 512 atau 3.52 peratus calon SPM 2021 di negeri ini daripada 62 sekolah telah berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki," katanya pada sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V di sini pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, seramai 10 calon daripada tujuh sekolah kerajaan telah berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan memperolehi pangkat A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Beliau berkata, ia melibatkan tiga pelajar dari Kolej Tunku Kursiah, dua dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir dan seorang masing-masing dari Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri, Kolej Permata Insan, Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani, Sekolah Menengah Datuk Abdul Razak dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol.

Iklan

Selain itu katanya, nilai GPN bagi calon yang bersekolah di kawasan bandar ialah 4.58, manakala calon luar bandar 4.81.

"Sebanyak 59 mata pelajaran mencatatkan pencapaian yang mana 30 mata pelajaran mencatatkan prestasi di bawah GPN 4.00.

"Empat mata pelajaran terbaik di bawah 2.00 adalah Hifz Al-Quran, Pendidikan Al Quran dan Al Sunnah, Hiasan Dalaman dan Reka Bentuk Grafik Digital," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan daripada seramai 14,868 calon melibatkan 124 buah sekolah, seramai 12,745 calon atau 87.62 peratus layak dianugerahkan sijil SPM.

Katanya, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 12,974 calon atau 87.9 peratus calon layak dianugerahkan sijil.

"Sebanyak 27 buah sekolah mendapat 100 peratus layak sijil, 77 sekolah mendapat 80-90 peratus layak sijil dan 19 sekolah mendapat 60-79 peratus layak sijil dan satu sekolah catat peratus layak sijil kurang 60 peratus.

"Tahniah kita ucapkan kepada semua calon yang berjaya menduduki SPM 2021 dalam suasana pandemik," katanya.