KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 134 laporan membabitkan 128 rakyat tempatan yang masih terkandas di beberapa negara selepas menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja.
Ketua Penolong Pengarah (D3) Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, kesemua mereka terdiri daripada 107 lelaki dan 21 wanita yang berumur lingkungan 17 hingga 41 tahun.
Menurutnya, siasatan mendapati mereka ini terkandas di beberapa negara antaranya, Kemboja, Myanmar dan Laos.
"Terdapat beberapa faktor yang mengakibatkan mangsa terpedaya untuk bekerja di luar negara antaranya, gaji lumayan dan kemudahan yang ditawarkan kepada mangsa.
"Selain itu, mangsa juga mencari kerja yang mudah, namun ingin menerima ganjaran lumayan," katanya.
Fadil berkata, polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara terbabit dan polis ASEAN (ASEANAPOL) bagi membantu semua mangsa terlibat.
"Selain itu, polis juga akan bekerjasama dengan pihak kementerian luar negeri bagi membantu mempercepatkan proses penyelamatan mangsa di luar negara," katanya.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar menyemak dengan teliti dari pelbagai sudut sebelum menerima tawaran pekerjaan di luar negara.
"Rakyat Malaysia yang menerima tawaran pekerjaan di luar negara hendaklah mematuhi undang-undang dan peraturan pekerjaan tempatan bagi memastikan diambil kerja secara sah.
"Antara perkara penting seperti visa kerja, kontrak kerja dan sebagainya," katanya.
Sebelum ini media melaporkan dakwaan Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong yang menganggarkan kemungkinan lebih 1,000 rakyat negara ini terpedaya dengan sindiket penipuan dan diseludup ke luar negara.
Micheal Chong berkata, pihaknya menerima 74 kes membabitkan sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan di luar negara bagi tempoh Januari lalu sehingga 8 Jun lalu.
Daripada 74 kes itu, 23 individu berjaya diselamatkan dengan 11 individu berjaya kembali ke tanah air.