Diuji bapa sakit, Nabil sebak dinobat pelajar cemerlang Sabah

Iklan
Ahmad Nabil disaksikan bapanya yang menghidap strok ketika menerima sijil pelajar cemerlang SPM 2021 yang disampaikan Mohamad dalam Majlis Pengumuman Keputusan SPM Tahun 2021 di SMK Agama Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Walau berdepan dengan dugaan ayah tiba-tiba diserang strok ketika bakal menghadapi peperiksaan, itu bukan penghalang bagi Ahmad Nabil Abidin, 18, memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Ahmad Nabil dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kota Kinabalu tidak dapat menahan sebak sebaik diumumkan sebagai pelajar cemerlang bagi negeri Sabah yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin pada Khamis.

Ahmad Nabil

Iklan
Iklan

Menurut Ahmad Nabil, dia tidak menyangka mendapat keputusan yang cemerlang di seluruh Sabah dalam keadaan dia diduga bapanya sakit, namun masih mampu memberi yang terbaik kepada kedua ibu bapanya.

"Walaupun ayah saya sedang sakit sekarang tetapi beliau tetap gagahkan diri datang bersama saya untuk mengambil keputusan SPM di sekolah hari ini.

Iklan

"Malah sebelum ini, saya juga terpaksa melawan emosi demi meraih keputusan yang cemerlang walaupun dalam masa yang sama runsing dengan keadaan kesihatan ayah yang berada di hospital pada awal tahun," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM Tahun 2021, di sekolahnya di sini.

Ahmad Nabil bersama bapa dan ibunya pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM Tahun 2021 di SMK Agama Kota Kinabalu.

Ahmad Nabil bagaimanapun tidak menolak bahawa doa kedua ibu bapa yang banyak memberinya kekuatan sehingga mendapat keputusan 9 A+, 2 A dan 1 A- dalam SPM kali ini.

Iklan

Katanya lagi, dia kini sedang cuba memohon beberapa institusi pengajian tinggi dan biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Saya berharap dapat menyambung pengajian dalam bidang yang saya akan pilih dan saya berhasrat untuk menjadi seorang doktor memandangkan di kampung saya di Kampung Pimping, Membakut, tidak ramai yang memilih kerjaya ini.

"Ini ditambah pula keadaan bapa saya yang kurang sihat menjadi pendorong untuk saya mempelajari bidang kedoktoran bagi membantu ahli keluarga dan orang ramai," katanya.

Muhammad Siraj

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang, Muhammad Siraj Nor Aslam Mano, 18, mengakui agak tertekan dengan keadaan pandemik Covid-19 baru-baru ini sehingga menyebabkan sesi pembelajaran di sekolah terganggu.

"Apabila peperiksaan ditangguhkan sehingga tahun ini, memang saya agak tertekan kerana menunggu lebih lama tetapi saya tetap kuatkan semangat untuk mengulang kaji pelajaran sepanjang masa.

"Namun usaha saya tidak sia-sia apabila turut mendapat keputusan yang cemerlang iaitu 8 A+ dan 1 A bagi SPM 2021," katanya yang juga dari SMK Muhibbah, Sandakan.

Sebelum itu, hadir sama dalam majlis itu ialah Pengarah Pendidikan Sabah, Tah Nia Jaman.