SEREMBAN - Meskipun pernah mengalami tekanan ketika mengikuti kelas secara dalam talian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun Amal Suraya Abdul Aziz, 18, berjaya mengatasinya apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan King George V itu memperoleh keputusan 3A+, 6A dan 2A-.
Menurut Amal Suraya, bukan mudah untuknya belajar ketika PKP sehingga terpaksa membuat keputusan berpindah ke sekolah lain ketika berada di tingkatan empat.
"Tempoh mengikuti kelas secara dalam talian itu memang memberi tekanan. Saya tidak mampu lagi hendak teruskan.
"Jadi ibu dan ayah buat keputusan pindahkan saya ke sekolah lain yang dirasakan lebih baik," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas mengambil keputusan SPM sambil ditemani ibu bapanya, Yazmin Khatab, 47 dan Abdul Aziz Hamzah, 47, serta neneknya, Hasnah Sahiboo, 78.
Amal Suraya berkata, jika masih kekal di sekolah sama dia tidak pasti sama ada mampu memperoleh keputusan cemerlang begitu.
"Saya tak sangka mampu memperoleh 11A kerana selalu fikir ia agak mustahil bagi saya kerana ketika peperiksaan percubaan saya hanya mampu memperoleh 7A.
Berkenaan dengan rahsia semangatnya untuk belajar, Amal Suraya berkata, dia sentiasa berpegang akan pesan ibunya untuk memikirkan setiap perkara yang susah itu mudah.
"Ketika peperiksaan lalu saya rasa mata pelajaran Matematik Tambahan itu susah sangat, tapi saya fikir sudah buat yang terbaik.
"Selain itu, penting untuk fokus di dalam kelas dan jika tidak faham perlu terus bertanya dengan guru," katanya.
Amal Suraya yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik berkata, dia bercita-cita menjadi seorang doktor dan berhasrat menyambung pengajian di dalam negara.
Sementara itu, ibunya, Yazmin berkata, beliau bersyukur dengan pencapaian anaknya itu selepas berdepan dengan tekanan belajar secara dalam talian.
Katanya, bukan semua pelajar mampu mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan keputusannya berpindah ke sekolah lain untuk mendapatkan suasana baharu adalah keputusan tepat.
"Saya nampak Amal Suraya sangat tertekan ketika mengikuti PdPR. Saya tahu guru-guru telah berusaha sebaik mungkin, tapi anak saya tidak mampu.
"Jadi saya ambil pendekatan untuk pindahkannya ke sekolah lain dan nampaknya ia berjaya," katanya.