Pelajar hidap Cerebral palsy tampil cemerlang dalam SPM

Iklan
Noraida (kiri) dan suaminya (Mohd Fadzil Baharom Shah (kanan) mengucup pipi Dhia Qaseh Afia sebagai penghargaan kepada anak sulung mereka.

ALOR SETAR - Kekurangan yang dihadapi tidak menghalang seorang calon istimewa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Lela Pahlawan, Dhia Qaseh Afia Mohd Fadzil,18 tampil cemerlang.

Dhia Qaseh yang menghidap Cerebral palsy (CP) sejak lahir memperoleh 5A 1B 1C pada keputusan SPM yang diumumkan secara rasmi pada Khamis.

Iklan
Iklan

Katanya, sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dia membahagikan masa dengan sebaiknya antara berehat dan belajar.

"Selalu saya tetapkan masa satu jam untuk belajar dan satu jam untuk rehat bagi mengelakkan dari tertekan," katanya ketika ditemui di Majlis Pengumuman Keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah (SMKAK) di sini pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, dia juga akan mendapatkan bimbingan daripada guru subjek sekiranya ada sesuatu bab yang tidak difahami.

"Saya akan hubungi cikgu untuk dapatkan penerangan supaya tidak ketinggalan," katanya yang mengalami kesukaran bertutur.

Iklan

Menurut ibunya, Noraida Hassan, 44 dia tidak menyangka anak sulungnya akan tampil sebagai pelajar cemerlang bagi kategori istimewa pada SPM kali ini.

"Dia memang suka belajar, banyak masa dia dihabiskan dengan belajar sahaja dan dia jarang keluar rumah.

"Terkejut juga masa dapat panggilan telefon dari cikgu suruh datang ke sini untuk ambil keputusan SPM, memang betul- betul tak sangka," katanya yang berasal daripada Kulim.

Seramai 383 iaitu 1.52 peratus calon sekolah kerajaan di Kedah berjaya memperoleh gred A (cemerlang) bagi semua mata pelajaran yang diduduki dalam peperiksaan SPM 2021.

Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Rozaini Ahmad berkata, seramai 29,769 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2021 berbanding 29,934 calon pada 2020 iaitu pengurangan sebanyak 0.55 peratus.

"Bagi pencapaian keseluruhan calon SPM 2021 berdasarkan gred purata (GP) negeri Kedah adalah 5.14 dan seramai 10 calon telah berjaya memperolehi gred A+ (cemerlang tertinggi) bagi semua mata pelajaran.

"Manakala sekolah dengan pencapaian terbaik berdasarkan GP pada tahun 2021 negeri Kedah adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, Alor Setar dengan GP 2.00," katanya.