Bekas pengerusi persatuan antara dua ditahan kes pecah amanah

Iklan

AMPANG - [DIKEMAS KINI] Dua lelaki warga emas termasuk bekas pengerusi sebuah persatuan telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes pecah amanah di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua lelaki berusia 64 dan 73 tahun itu ditahan secara berasingan di Petaling Jaya dan Shah Alam.

Iklan
Iklan

"Tangkapan itu susulan laporan polis daripada wakil ahli persatuan tersebut yang mendapati baucar pembayaran persatuan yang disyaki palsu telah digunakan oleh bekas pengerusi, bekas setiausaha dan bendahari persatuan.

"Hasil semakan terhadap penyata bank dan baucar pembayaran mendapati terdapat wang persatuan telah dipindahkan ke akaun peribadi bekas pengerusi persatuan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Mohamad Farouk berkata, baucar pembayaran telah dikeluarkan sebanyak empat kali dengan jumlah keseluruhan RM65,000.

"Terdapat empat cek bank digunakan bagi pengeluaran itu dibuat tanpa kelulusan ahli mesyuarat agung jawatankuasa persatuan," ujarnya.

Iklan

Beliau berkata, reman bagi kedua-dua suspek telah ditolak oleh Mahkamah Majistret Ampang pada Khamis.

"Kita telah mengambil keterangan dua suspek ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan," katanya.