GEORGETOWN -"Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan," itulah prinsip yang dipegang seorang remaja cacat penglihatan yang meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Tan Jun Sheng, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Georgetown yang berjaya memperoleh keputusan 2A+, 5A dan 1B+, berkata keputusan itu jelas membuktikan bahawa seseorang itu harus berani mencuba meskipun berdepan aral.
"Walaupun dilahirkan dengan masalah penglihatan kerana mata tidak dapat fokus dalam cahaya, saya memberanikan diri untuk mengambil mata pelajaran yang sukar dalam SPM kerana minat, iaitu subjek geografi dan sains sukan.
"Ramai yang bertanya saya kenapa nak cuba mata pelajaran yang sukar, tetapi saya minat dalam geografi ini kerana mahu mengenali bumi dengan lebih dekat, selain meminati sukan sejak kecil lagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di SMK Georgetown di sini, pada Khamis.
Anak tunggal itu berkata, penglihatannya mula merosot ketika berusia 14 tahun dan kini beliau tidak dapat melihat dalam cahaya.
Beliau mengakui menghadapi kesukaran ketika mengikuti kelas secara pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) ekoran pandemik Covid-19, namun gurunya banyak membantu dengan menyediakan gambar rajah yang dihantar ke rumah, manakala ibunya turut membacakan ayat dalam buku teks.
Ibu Tan, Anna Lim, 49, berkata, beliau sangat berpuas hati dengan keputusan SPM anaknya kerana ia adalah hasil usaha gigih dan tidak mudah putus asa remaja itu.
Sementara itu, pelajar cemerlang SPM 2021, Nur Aina Fadhlina Ahmad Fazli, 18, dari SMK Bukit Jambul berkata beliau bertekad untuk mencapai keputusan terbaik demi membalas jasa guru sekolah dan pengorbanan ibunya yang merupakan ibu tunggal.
Nur Aina yang mendapat keputusan 9A+, berkata walaupun agak sukar untuk belajar dalam pandemik secara PdPR, beliau akan bangun seawal 3 pagi untuk membuat ulang kaji.
"Saya berhasrat untuk meneruskan pelajaran dalam bidang perakaunan namun saya masih belum pasti mahu ke universiti mana,” katanya. - Bernama