KANGAR - Cabaran belajar secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akibat pandemik tidak menghalang pasangan kembar seiras untuk mendapat keputusan gred A+ (cemerlang tertinggi) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dalam kesemua mata pelajaran.
Pelajar aliran sains tulen Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra di sini, Anis Sofiah dan Anis Solehah Zolkharnain bercita-cita untuk bergelar doktor perubatan dan menjadikan Dr Nur Amalina Che Bakri dan Profesor Dr Imelda Balchin sebagai inspirasi dalam mengejar impian tersebut.
"Kami kerap membaca hasil tulisan Dr Nur Amalina dan Dr Imelda kerana ingin berbakti kepada masyarakat dan negara satu hari nanti,” kata Anis Sofiah kepada pemberita selepas menerima keputusan SPM di sini, pada Khamis.
Sementara itu Anis Solehah berkata, mereka bukan hanya berkongsi cita-cita yang sama, malah mempunyai minat yang sama iaitu berpidato.
"Banyak aktiviti kami buat secara bersama termasuk belajar, namun adakalanya kami ambil masa untuk bersendirian,” katanya.
Beliau berkata, kunci kejayaan mereka adalah memberi fokus ketika mengikuti kelas, sama ada secara bersemuka atau PdPR.
"Bagi kami semua yang keluar dari mulut cikgu adalah penting, jadi kami memberi fokus kepada pembelajaran dan membuat latihan,” katanya dan menambah mereka ingin melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dalam pengajian Asasi Sains Hayat. - Bernama