Waspada iklan murah luar biasa dalam talian

Iklan
Gambar hiasan

MALAYAN Banking Bhd (Maybank) mengingatkan pelanggan supaya sentiasa berwaspada dengan penipu dalam talian yang terus mencari cara baharu untuk menipu pengguna yang kurang curiga, terutama dengan peningkatan aktiviti e-dagang yang didorong pandemik Covid-19.

Dalam kenyataan pada Khamis, Maybank menjelaskan, memandangkan lebih ramai pengguna kini memilih untuk berurus niaga dalam talian, penipu mencari peluang untuk memperdaya pengguna dengan menggunakan taktik baharu dan canggih.

Iklan
Iklan

"Selain membangunkan laman web atau aplikasi perbankan palsu untuk memikat atau menarik perhatian pelanggan, penipu kini memasukkan komponen hasad (malware) dalam aplikasi penguatkuasaan undang-undang palsu dan laman web atau aplikasi e-dagang runcit palsu untuk mendapat akses kepada maklumat perbankan dalam talian pelanggan seperti nama pengguna dan kata laluan.

"Penipuan biasa yang selalunya menjerat mangsa bermula apabila pelanggan menemui tawaran atau iklan murah yang luar biasa di laman web media sosial,” jelasnya.

Iklan

Menurut Maybank, beberapa panduan berguna boleh diikuti pelanggan untuk melindungi diri apabila menggunakan platform dalam talian termasuk mengelakkan memasang atau memuat turun fail aplikasi/APK atau klik pada pautan mencurigakan yang dihantar melalui kemudahan sembang seperti sistem pesanan ringkas (SMS), WhatsApp, Messenger atau perkhidmatan lain yang serupa.

"Selain itu, jangan berikan kebenaran untuk mana-mana aplikasi menghantar atau melihat SMS anda. Jangan abaikan sebarang amaran daripada peranti anda, terutama semasa memuat turun atau memasang fail baharu.

Iklan

"Jangan masukkan butiran perbankan anda, terutama nama pengguna atau kata laluan, dalam mana-mana aplikasi atau laman web yang mencurigakan,” tambahnya.

Maybank menjelaskan, pihaknya terus berkongsi kandungan bermaklumat di laman web Maybank2u serta di Facebook dan Instagram, dalam usaha mengingatkan dan mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelanggan mengenai bahaya penipuan hasad.

Pelanggan harus sentiasa memberi perhatian kepada peringatan ini supaya mereka terus mengetahui kaedah penipuan terkini demi melindungi diri mereka.

"Bank juga ingin mengesahkan bahawa keselamatan dana dan transaksi perbankan dalam talian pelanggan diutamakan pada setiap masa.

"Platform dan aplikasi perbankan dalam talian Maybank adalah selamat dan menggunakan kawalan keselamatan yang kukuh untuk memerangi ancaman siber,” jelasnya.

Bagaimanapun, pelanggan diingatkan untuk melaksanakan peranan bagi melindungi diri mereka secara berterusan dengan memastikan butiran perbankan dalam talian disimpan selamat dan tidak dikongsi dengan pihak ketiga, sama ada secara sedar atau tidak semasa percubaan ‘memancing data’ atau hasad.

Pelanggan boleh menghubungi talian hotline penipuan Maybank di +603-58914744 dengan segera jika mengesyaki butiran perbankan mereka telah terjejas, dan ia adalah perkhidmatan talian hotline 24 jam tujuh hari seminggu, agar bank dapat membantu pelanggan mencegah kerugian lanjut dengan segera.- Bernama