KUALA LUMPUR - Rakan Pengasas Rumah Bonda memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis bahawa dia tidak membuat laporan polis walaupun melihat remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella, dalam keadaan teruk.
Ketika prosiding kes menganiaya Bella membabitkan Siti Bainun Ahd Razali, saksi kelapan pendakwaan, Suhana Zam, 40, berkata, tindakan tidak diambil kerana beranggapan sudah memadai dengan laporan yang dibuat oleh rakannya, Zurianty Sudin, 39, (saksi pendakwaan pertama).
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, beliau yang juga Pegawai Penyelidik Undang-undang di sebuah firma guaman berkata, telah memaklumkan pada Zurianty, sekiranya pihak polis memerlukan laporan tersebut, beliau sedia hadir untuk memberi kerjasama.
Dalam prosiding terdahulu, peguam, Nur Ellena Mohamed Razif yang mewakili Siti Bainun mencadangkan, tiada keperluan untuk saksi itu membuat laporan polis biarpun selepas melihat keadaan Bella.
Peguam itu juga mengemukakan saranan bahawa Suhana tidak memeriksa keadaan Bella yang didakwa berada di bilik dobi sebaliknya terus menonton siaran bola sepak, UEFA Euro di ruang tamu kondominium yang diduduki Siti Bainun.
"Saya cakap tidak setuju bagi kedua-dua cadangan berkenaan kerana masa itu saya memikirkan risiko yang lebih besar mungkin berlaku pada Bella,” kata Suhana.
Bagaimanapun, menjawab soalan Nor Azizah, saksi ini berkata, dia tidak bertanya mengenai keadaan Bella ketika menunggu siaran bola sepak bersiaran kerana tertuduh ketika itu sedang meluahkan masalah peribadi.
Suhana: Masa itu Siti Bainun berkongsi masalah mengenai teman lelakinya, jadi agak tak sesuai untuk tanya mengenai Bella, dia sudah terganggu dengan masalah yang dihadapi.
Nor Azizah: Cik Suhana juga mengaku tidak tengok Bella lepas Siti Bainun masuk tidur, jelaskan kenapa?
Suhana: Saya sangat yakin yang Bella memang ada di bilik dobi, jadi saya tak tengok, ketika itu saya tiada pilihan untuk bawa keluar remaja itu dari tempat tersebut, tanpa menimbulkan apa-apa masalah.
Dalam prosiding sama, Suhana berkata, tidak pernah melihat Siti Bainun menguruskan bayi yang tinggal di rumah tersebut, sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu kepada tiga penghuni rumah yang lain.
Sepanjang berada di kondominium atau keluar bersama Siti Bainun, beliau berkata, penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, 19, (saksi pendakwaan kelima), Aida dan Balqis akan memandikan atau menukar lampin pakai buang pada dua bayi, Tulus Jiwa dan Tulus Bael.
"Saya sendiri pernah tengok Tulus Jiwa yang ketika itu ada masalah kulit dan tidak aktif tetapi boleh mengesot ke bawah meja dan tidak dipedulikan lebih sejam.
"Tulus Bael pula selalu cedera, contohnya ada satu malam dia dibiarkan bermain seorang diri, telah terjatuh dan berdarah.
"Bayi itu menangis tapi setelah dipujuk oleh Aida, Yasmin dan Balqis, bayi itu biarkan bermain dan terjatuh di tempat yang sama," katanya.
Beliau berkata, dua bayi itu seakan tidak mempunyai penjagaan yang baik kerana kejadian sama berulang malah berlaku dalam masa singkat.
Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun.
Prosiding di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.