AMPANG - Sejumlah lima kenderaan yang diletakkan di tepi jalan di kawasan taman perumahan di Taman Melawati di sini mengalami kerosakan akibat dihempap pokok tumbang susulan hujan lebat pada Khamis.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan insiden itu pada jam 8.35 malam.
"Sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Norazam berkata, tiga batang pokok telah tumbang menghempap lima buah kenderaan yang diletakkan di tepi jalan susulan hujan lebat.
"Kita mendapati dua buah kereta Perodua kancil, sebuah Toyota Unser, sebuah Perodua Myvi dan sebuah kereta Audi dihempap pokok.
"Kerja-kerja memotong sedang di lakukan oleh pihak bomba. Kejadian itu tidak melibatkan mangsa dan juga struktur rumah," ujarnya.
Dalam kejadian berasingan, Norazam berkata, pihaknya turut menerima panggilan berkaitan kejadian pokok tumbang menghempap sebuah kereta Proton Exora di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
"Kita menerima panggilan pada jam 9.34 malam, seramai enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang bergegas ke lokasi.
"Kerja pemotongan dan pembersihan sedang dilakukan oleh pihak bomba, kejadian itu juga tidak melibatkan mangsa," katanya.
Norazam berkata, sebelum itu Balai Bomba dan Penyelamat Selayang telah menerima panggilan berkaitan kejadian pokok tumbang telah menghalang jalan besar menghala ke Rawang pada jam 8.07 malam.
"Kerja pemotongan pokok berkenaan dan dialihkan ke tempat selamat telah selesai," katanya.
Norazam berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Pandan juga telah menerima panggilan kejadian pokok tumbang menghalang Jalan Kolam Air di Taman Melawati pada jam 9 malam.
"Sepasukan lima anggota dan pegawai bersama jentera telah pergi ke lokasi. Kerja-kerja memotong dan mengalihkan sisa pokok sedang dilakukan oleh pihak bomba.
"Kejadian itu juga tidak melibatkan struktur bangunan, kenderaan dan mangsa," katanya.