Kejayaan Janusha dapat perhatian kerajaan Pahang

Iklan
Wan Rosdy

KUANTAN - Kejayaan anak kelahiran Lipis, B Janusha, 23 yang menjadi pegawai wanita pertama negara berjaya menamatkan Pengajian dan Latihan Ketenteraan di United States Naval Academy (USNA) mendapat perhatian kerajaan Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan Pegawai Kadet Kanan (PPK) daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu perlu dijadikan inspirasi dan motivasi kepada seluruh rakyat di negeri dan negara ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai tanda penghargaan atas kejayaan itu, kerajaan negeri bersetuju memberi sumbangan RM20,000 dan sijil penghargaan kepada pegawai tersebut.

"Saya amat kagum atas kegigihan Janusha dan juga ahli keluarganya yang lain terutama kedua ibu bapanya yang begitu mengambil berat mengenai masa depan anak-anak sehingga kesemua anak-anak mereka memiliki kerjaya yang hebat," kata Wan Rosdy dalam kenyataan di Facebooknya.

Iklan
Wan Rosdy menyampaikan ucapan tahniah atas kejayaan Janusha dalam hantaran di Facebooknya.

Wan Rosdy berkata, kejayaan itu cukup membanggakan kerana USNA adalah sebuah akademi tentera terbaik dan berprestij di dunia.

"Kejayaan beliau membuktikan kehebatan anggota tentera wanita dari Pahang khususnya dan Malaysia amnya yang cekal, gigih dan berjiwa kental mengejar cita-cita serta berjuang demi tanah air tercinta," katanya.

Iklan

Melalui kenyataan itu, Wan Rosdy turut berkongsi latar belakang anak bongsu dari tiga beradik yang dilahirkan di Hospital Lipis, 23 tahun lalu itu.

Bapa Janusha, M Balakrishnan berasal dari Melaka pernah bertugas sebagai penyelia di Hospital Lipis dan bersara pada 2019 manakala ibunya, S Saraswathy berasal dari Bentong merupakan bekas Ketua Penyelia Jururawat Hospital Lipis.

Janusha memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Paya Pulai, Temerloh dari darjah satu hingga darjah tiga sebelum berpindah ke Sekolah Kebangsaan Clifford, Kuala Lipis.

Beliau menyambung pendidikan di peringkat menengah di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan dari tingkatan satu hingga lima sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).