SEBERANG JAYA - Kejujuran dan ketelusan dalam melakukan sesuatu tindakan atau pekerjaan amat penting bagi memastikan tiada individu yang terasa tertipu.
Influencer media sosial, Achi Kelumbong berkata, tindakannya yang tidak mengambil sebarang bayaran jika mahu membuat ulasan makanan atau 'food review' di media sosial adalah bagi mengelakkan berlakunya unsur rasuah.
Jelasnya, pengulas mestilah bersikap jujur dengan mengaku rasa sebenar makanan itu sama ada ia sedap ataupun tidak.
"Kalau buat 'review' ke atas satu-satu makanan tu kalau tidak sedap, saya akan kata tak sedap. Kalau ada pihak nak bayar saya nak suruh beritahu makanan itu sedap, maknanya ada unsur rasuah.
"Sebab itu saya tak buat 'paid review'. Bukan sombong, tetapi bimbang ada unsur tersebut. Ditambah pula saya seorang yang sangat cerewet. Saya boleh masak. Tak akan makanan tu tak sedap kita nak kata sedap.
"Nanti kalau orang tahu benda tu tak sedap orang akan cari saya, marah kat saya,” katanya ketika menjadi tetamu undangan Program Kafe Rasuah Busters (RB) sempena Konvoi RB (Utara) di sini pada Khamis.
Dia bagaimanapun berkata, cara untuk menolak rasuah itu biarlah dengan cara yang sopan dan beradab.
"Ini kerana kita ada budi bahasa. Jadi tolak dengan cara elok,” ujarnya.
Turut menjadi tetamu pada program tersebut Achi Keriau yang merupakan sahabat karib Achi Kelumbong.
Masing-masing sering bergandingan untuk berkongsikan ulasan makanan di platform media sosial seperti Facebook dan Youtube, dan kini mereka mempunyai peminatnya yang tersendiri sehingga mencecah lebih 10,000 tontonan untuk setiap video.
Selain berkongsikan video makanan, mereka turut memaparkan budaya dan penggunaan kosa kata lama bahasa Pulau Pinang yang kian dilupakan generasi sekarang.
Menurut Achi Keriau, antara salah satu cabaran untuk menghasilkan kandungan video makanan adalah masa.
"Ini kerana kami buat hanya suka-suka, bukan buat keuntungan. Bagi kami, buat orang rasa seronok sudah cukup.
"Nasihat saya kalau nk buat kandungan jadilah diri sendiri. Jangan keterlaluan sehingga hilang tatasusila. Niat kena betul. Buat kandungan ikut apa yang kita mampu,” katanya.