'Idealisme, prinsip perjuangan Bersatu jati diri saya'

Iklan
Mohamed Azmin

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa idealisme dan prinsip perjuangan parti tersebut adalah jati diri beliau.

Kata Mohamed Azmin, beliau akan terus bergerak bersama seluruh anggota Bersatu untuk membangunkan sebuah kerajaan yang bersih dan komited terhadap prinsip tadbir urus yang baik serta memperjuangkan keadilan sosial demi kemakmuran bersama.

Iklan
Iklan

"Sesungguhnya, Bersatu wadah unggul untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Mohamed Azmin dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dijangka meninggalkan Bersatu mengikut jejak Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Iklan

Bagaimanapun perkara tersebut disangkal oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan menyatakan bahawa dakwaan tersebut merupakan desas-desus tidak berasas.

Mohamed Azmi berkata, citra Bersatu yang dinamik, progresif dan inklusif amat bertepatan dengan aspirasi zaman demi membangun Malaysia yang bersatu padu serta berupaya mendepani cabaran semasa.

Iklan

Tambah Ahli Parlimen Gombak itu, idealisme perjuangan Bersatu yang meliputi norma kehidupan dan dasar prihatin mengangkat martabat rakyat telah berjaya menjana kemakmuran demi kesejahteraan rakyat.

"Justeru, saya amat menghargai dan berterima kasih di atas kenyataan Muhyiddin Yassin di atas keyakinan dan kepercayaan beliau terhadap iltizam dan komitmen saya bersama Bersatu sebagai wadah politik dan perjuangan demi rakyat.

"Dasar dan inisiatif diperkenalkan oleh beliau khususnya pakej rangsangan ekonomi yang proaktif serta keputusan pantas yang tepat pada masanya mengenai pelaksanaan program vaksinasi besar-besaran, telah meletakkan Malaysia di atas landasan kukuh dan berdaya tahan bagi menjamin kejayaan pemulihan ekonomi dan usaha menangani krisis kesihatan.

"Malaysia telah diiktiraf sebagai berjaya mengurus pandemik dengan efektif dan bertanggungjawab,” katanya.

Tambah beliau, hasil kebijakan yang mesra perniagaan berjaya mencipta pekerjaan dan kemakmuran untuk rakyat sekali gus merancakkan aktiviti perniagaan dan pelaburan pasca pandemik Covid-19.

"Bersatu adalah sebuah parti yang berakar dari identiti Melayu dan Bumiputera demi memelihara hak dan kedaulatan bangsa Melayu serta agama Islam.

"Namun, sebagai wadah politik yang berpandangan jauh ke hadapan, Bersatu juga mahu mendakap realiti Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama.

"Bersatu telah berani melakukan anjakan paradigma dengan meminda Perlembagaan parti untuk meraikan kepelbagaian kaum dan budaya yang akan menyuburkan amalan demokrasi di Malaysia,” katanya.