Sisa daun, ranting kering tutup saliran air

Iklan
Penduduk menunjukkan keadaan sampah daun kering yang sudah menutupi saliran air.

SERDANG - Sekali pandang, laluan utama di Jalan Serdang Selatan Taman Sri Serdang di sini tiada apa yang luar biasa, namun apabila diteliti kira dan kanan bahu jalannya, ia dipenuhi sisa daun dan ranting kering yang sudah menutupi saliran air.

Keadaan itu dikatakan sudah berlarutan sejak awal tahun lalu apabila tanggungjawab selenggara jalan raya bertukar tangan antara agensi.

Iklan
Iklan

Ahli Jawatankuasa Penduduk Zon 20, Ismail Osman berkata, isu kebersihan jalan telah dibangkitkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang difahamkan merupakan agensi bertanggungjawab namun tiada tindakan diambil.

Wakil JKR Petaling turut turun padang melihat permasalahan yang berlaku.

Katanya, keadaan itu akan menimbulkan masalah lain kerana membabitkan sistem saliran.

Iklan

"Dari segi sampah lain pihak penduduk berusaha untuk menjaga kawasan namun sampah daun-daun kering ini tanggungjawab siapa? Sampah-sampah ini bersifat semula jadi, jika tidak dibersihkan ia tetap akan mencemarkan.

"Ia akan menyebabkan saliran tersumbat dan air hujan akan bertakung memberi risiko keselamatan kepada penduduk," katanya kepada Sinar Harian ketika lawatan turun padang bersama Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Mohan Singh hari ini.

Iklan
Dari kiri: Ismail, Thanabalan, Mohan

Ketika lawatan berkenaan, terdapat wakil JKR Petaling yang turut meninjau permasalahan yang berlaku namun tidak dapat dipastikan sama ada jalan berkenaan adalah bawah penyelenggaraan JKR atau MPSJ.

Bagaimanapun pihak MPSJ sebaliknya menegaskan ia adalah bawah JKR.

Situasi itu tidak mencapai sebarang keputusan dan difahamkan pihak JKR akan mengambil tindakan lanjut dengan menyemak semula status pemilikan jalan sebelum disusuli dengan sebarang tindakan.

Keadaan jalan raya yang tidak dibersihkan.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Thanabalan, 74, berkata, situasi itu tidak wajar berlaku kerana penduduk membayar cukai.

"Jalan MPSJ atau JKR itu bukan penduduk punya hal, Penduduk ada kuasa untuk tanya tapi jangan tolak sana sini. Mengapa tidak dibersihkan sahaja," katanya.

Sementara itu Mohan Singh turut menyatakan rasa kecewa dengan keadaan berkenaan dan berharap tindakan susulan dapat disegerakan.

"Tengok keadaan ini pun boleh tahu sudah lama tidak dibersihkan. Bagaimana boleh dibiarkan tanpa sebarang tindakan,"katanya.