Pesara wanita rugi lebih RM4.3 juta ditipu 'ahli kaji bumi'

Iklan
Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Niat baik seorang pesara wanita sebuah agensi kerajaan membantu kenalan yang dikenali melalui Facebook memakan diri apabila 'ahli kaji bumi' yang dibantu itu sebenarnya ahli sindiket 'love scam'.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf Ali berkata, wanita berusia 66 tahun tersebut berjaya diperdayakan oleh lelaki yang mendakwa dari Amerika Syarikat itu hingga menanggung kerugian lebih RM4.3 juta.

Iklan
Iklan

"Mangsa berkenalan dengan suspek melalui Facebook pada pertengahan tahun lalu dan suspek memperkenalkan diri sebagai warga Amerika Syarikat serta bekerja sebagai ahli kaji bumi di sebuah syarikat cari gali minyak di negara itu.

"Sepanjang tempoh perkenalan mereka antara Mei 2021 hingga 31 Mei tahun ini, mangsa mendakwa banyak kali diperdaya suspek bersama dua rakan subahatnya.

Iklan

"Mangsa mendakwa dalam tempoh itu membuat 190 transaksi bayaran melalui akaun bank diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan lebih RM4.3 juta," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ramli berkata, mangsa mendakwa suspek meminta bantuannya untuk pelbagai tujuan antaranya bagi membantu lelaki itu membayar hutang dan kontrak kerja, upah pekerjaan, kos perubatan serta kos pembayaran peguam berkait urusan harta warisan.

Iklan

Beliau berkata, mangsa akur dengan permintaan suspek dengan niat untuk membantu.

"Menyedari dan syak ditipu, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. Dalam kes ini, sebanyak 190 transaksi pindahan wang dibuat, bermakna mangsa diperdaya banyak kali sehingga sanggup memindahkan wang jutaan ringgit dalam tempoh singkat," katanya.

Sehubungan itu Ramli berkata, individu berumur yang mempunyai simpanan wang diingatkan supaya tidak alpa dan termakan pujuk rayu kenalan maya di media sosial supaya tidak menjadi mangsa scammer.