SHAH ALAM - Malaysia memerlukan strategi yang khusus dan rencana jangka panjang bagi menangani masalah beban kehidupan golongan B40 di negara ini secara mampan.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, walaupun banyak program bantuan telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk B40, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah golongan berkenaan secara keseluruhannya.
Justeru itu menurutnya, MINDA-UKM bersedia untuk membantu kerajaan bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
"Seiring dengan (pemberian) bantuan, Malaysia memerlukan strategi yang khusus menangani masalah ini secara mampan. Isu struktur membelenggu kita.
"Cari jalan, letak sasaran, laksanakan, pantau dan laporkan. Perlu ada rencana jangka panjang. Boleh bincang dengan MINDA-UKM," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Pakar ekonomi itu berkata, saranan itu sebagai menyusul Titah Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah: Bentuk Rencana Jangka Panjang Yang Bitara.
Dalam titah itu, Seri Paduka Baginda berpendapat bahawa pengurusan negara dalam era pasca pandemik memerlukan suatu rencana yang bitara mencakupi pelbagai sektor dan aspek kehidupan.
"Bagi menempuh gelora masa hadapan, kerajaan beta dan semua pihak tanpa mengira fahaman politik hendaklah berusaha merencana pelan jangka panjang bagi membawa negara kembali ke persada kejayaan," titah Al-Sultan Abdullah.
Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata, keadaan ekonomi B40 ketika ini masih ketinggalan meskipun pelbagai program bantuan sosial dan inisiatif diperkenalkan khusus buat mereka.
"Saya paparkan tiga carta untuk tiga fakta sebagai perangsang. Pertama dari segi pendapatan, kedua pengagihan pendapatan dan ketiga kos sara hidup.
"Dari segi pendapatan didapati pendapatan B40 meningkat dengan kadar yang jauh lebih rendah berbanding T20. Jurang T20-B40 semakin melebar.
"Tidak salah pendapatan T20 meningkat dengan pantas. Yang bermasalah ialah kenaikan pendapatan B40 terlalu perlahan. Mengapa?" soal beliau.
Menurutnya, dari aspek pengagihan pendapatan, saiz kek pendapatan B40 seolah tidak berubah kerana data terkini merekodkan hanya 16 peratus sampai ke B40, sementara 47 peratus untuk T20 dan agak stabil untuk M40 sekitar 37 peratus sekali gus menandakan bahawa peluang untuk B40 masih terhad.
Mengenai kos sara hidup pula, Nor Azlan berkata, dengan peningkatan harga makanan sejak kebelakangan ini, B40 akan lebih tertekan kerana 37 peratus perbelanjaan mereka adalah untuk makanan.
"Jika dihimpun tiga komponen utama perbelanjaan (golongan ini) makanan, rumah, pengangkutan ia sekitar 73 peratus.
"Amat merisaukan,semua tiga kategori perbelanjaan ini harganya semakin meningkat. Mengapa?" soalnya lagi.