PARIT - Biarpun sudah 10 tahun berlalu, usaha sebuah keluarga untuk mencari ayah kandung mereka yang hilang masih diteruskan hingga kini.
Abdul Shukor Pandak Abd Aziz, 78, yang dilaporkan hilang ketika mencari barang lusuh di sekitar kawasan Bota pada Ogos 2012 lalu masih belum ditemui.
Anaknya, Hamidah, 49, berkata, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengesan ayahnya dalam tempoh 10 tahun lalu termasuk mencarinya di kediaman orang-orang tua dan hospital bahagia, namun semuanya menemui jalan buntu.
Menurutnya, pemeriksaan turut dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara untuk menyemak rekod kematian, namun hampa dan sehingga kini masih menjadi tanda tanya.
"Berita kehilangan ayah kami ada keluar di akhbar ketika itu dan kami turut menampal poster muka dia di Teluk Intan dan Sabak Bernam kerana ada yang memaklumkan melihat dia di kawasan tersebut.
"Tetapi apabila dicari kami tidak menemuinya dan panggilan terakhir kami terima memaklumkan ayah ada di Kuantan, Pahang namun bila dicari tidak jumpa juga," katanya di sini pada Jumaat.
Hamidah berkata, mereka sekeluarga tidak pernah putus asa dalam mencari keberadaan Abdul Shukor Pandak dan mengakui amat merindui warga emas itu selepas sekian lama terpisah.
Katanya, kepulangan Abdul Shukor Pandak juga sesuatu yang amat dinantikan lebih-lebih lagi diperlukan sebagai wali untuk pernikahannya yang dijadualkan pada 22 Jun ini.
"Saya harap sekiranya ada yang pernah melihat atau mengenali ayah saya, segeralah maklumkan kepada kami.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi saya menerusi nombor telefon 014-2829978," katanya.