Projek keempat TNB stabilkan bekalan elektrik ke Pulau Pinang

Iklan
Projek talian penghantaran 275 kV dengan kos RM500 juta itu dijangka siap menjelang hujung 2024 dan bakal menjadi mercu tanda ikonik Pulau Pinang dengan reka bentuk buah pinang. (ilustrasi artis) (Gamabr kecil: Datuk Ir Husaini Husin)

SHAH ALAM – Tenaga Nasional Berhad (TNB) membelanjakan RM500 juta projek keempat penyambungan terus bekalan elektrik daripada Grid Nasional ke Pulau Pinang melalui penghantaran talian atas dari tanah besar Semenanjung.

Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir Husaini Husin berkata, projek berkenaan bakal dilaksanakan untuk memperkukuhkan dan menstabilkan bekalan elektrik di negeri itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, projek dijangka siap menjelang 2024 itu melibatkan penyambungan terus bekalan elektrik daripada Grid Nasional ke negeri itu melalui penghantaran talian atas dari tanah besar semenanjung.

"Projek menara penghantaran monopole sepanjang 8.5 kilometer (km) yang bakal menghubungkan pencawang masuk utama (PMU) stesen janakuasa (SJ) Perai ke PMU The Light di Pulau Pinang itu, dibina selari dengan jambatan Pulau Pinang dan adalah yang kedua seumpamanya di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Tambahnya lagi, projek itu bakal menjadi mercu tanda ikonik Pulau Pinang melalui menara talian penghantaran unik dengan reka bentuk buah pinang.

"Projek berkenaan memastikan kapasiti sistem bekalan sedia ada tidak terjejas apabila satu-satunya stesen janaelektrik (SJ) di pulau berkenaan iaitu SJ Gelugor dengan kapasiti penjanaan 300 megawatt (MW), dijadualkan tamat kontrak perkhidmatan pada akhir 2024.

Iklan

"Permintaan beban puncak di pulau ini pernah mencecah 777.85 MW yang direkodkan pada Januari 2020 berbanding kapasiti sistem bekalan sedia ada (firm capacity) sebanyak 1,130 MW. Kami mahu memastikan kapasiti ini stabil apabila SJ Gelugor tamat perkhidmatannya,” ujarnya.

Menurut Husaini, projek talian atas monopole pertama TNB sudah siap dibangunkan sepanjang 4.2km yang menghubungkan Pantai Siring ke Pulau Besar Melaka dan kerja-kerja penyiasatan tanah bagi projek kedua ini pula sedang dijalankan di kawasan laut berhampiran dengan Jambatan Pulau Pinang.

TNB akan membangunkan satu lagi penyambungan terus bekalan elektrik daripada Grid Nasional ke Pulau Pinang melalui penghantaran talian atas dari tanah besar Semenanjung, bagi mengekalkan kestabilan bekalan elektrik di Pulau Mutiara itu pada masa depan. (ilustrasi artis)

"Semua aktiviti projek ini yang bakal dijalankan tidak akan memberi impak negatif kepada alam sekitar berikutan kajian penilaian impak alam sekitar (EIA) telahpun dijalankan dengan terperinci dan mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar,” katanya.

Husaini berkata, kaedah penghantaran talian atas monopole adalah solusi paling lestari menyalurkan bekalan dari Grid Nasional ke pulau berkenaan dengan mengambil kira aspek kewajaran kos, keselamatan, kecekapan dan kestabilan bekalan termasuk dari segi kepantasan mengesan sebarang kerosakan atau gangguan.

"Semua elemen tersebut menjadikan pelaksanaan projek ini juga menterjemahkan komitmen TNB terhadap agenda ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus).

"Bahkan, kerja-kerja pembinaan menara di dalam air juga tidak akan memberi impak kepada lalu lintas di jambatan Pulau Pinang,” katanya.

Jelasnya lagi, tiga talian terdahulu yang dibina TNB di negeri itu sebelum ini melibatkan kabel dasar laut 132 kV dari SJ Prai – SJ Gelugor yang dimula tugas pada 1978; 132 kV kabel bawah jambatan (1989) dan 275 kV kabel dasar laut dari PMU Juru – PMU Bayan Lepas (1995).