SHAH ALAM - Tangkapan ular terutama di kawasan kediaman mencatatkan peningkatan memandangkan cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini.
Difahamkan peningkatan tangkapan ini dicatatkan sekali ganda berbanding pada bulan lain.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, Penolong Pesuruhjaya Pertahanan Awam, Mohd Yusoff Samad berkata, sehingga kini, 100 kes direkodkan berbanding 50 kes yang dicatatkan berbanding bulan lain.
"Sepanjang cuaca panas ini, didapati tangkapan ular agak meningkat.
"Cuaca agak ekstrem kalau kita lihat sekarang, sekejap panas dan kadang-kadang saja hujan dan antara lain, faktor pembangunan juga antara penyebab kenapa ular ini keluar daripada ekosistem mereka," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Perutusan Amanat sempena Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam ke-67 di Dewan Gemilang, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Selangor, Bukit Raja di sini.
Katanya, APM sentiasa bersedia dengan peningkatan kes membabitkan ular ini.
"Pihak kami sentiasa melakukan persediaan antaranya mengadakan latihan dalam kalangan anggota supaya lebih mahir menangkap reptilia itu," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Yusof turut menasihatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menangkap sendiri ular terutama yang berbisa kerana ia boleh mengancam keselamatan dan nyawa mereka," katanya.
Terdahulu, turut diadakan pemakaian pangkat bagi Pengarah APM Negeri Selangor, Penolong Pesuruhjaya Pertahanan Awam, PPj. (PA) Mohd Yusoff Samad serta penyerahan watikah kenaikan pangkat beliau yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan PPj (PA) Ahmad Afandi Mohamad.