KUALA LUMPUR - Rapid KL memperkenalkan dua laluan bas perantara secara percuma bagi menampung keperluan penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya.
Rapid KL dalam satu kenyataan berkata, bas perantara itu akan beroperasi bermula Jumaat.
Menurutnya, bas itu akan beroperasi pada Isnin hingga Jumaat dengan kekerapan setiap 15 minit bermula jam 4.30 petang hingga 7.30 malam.
"Bas SH01 menghubungkan Stesen LRT KLCC (Hentian bas KLCC) ke Stesen LRT Wangsa Maju manakala SH02 adalah bagi laluan Stesen MRT Pasar Seni (Pintu B) ke Stesen LRT Universiti.
"Perkhidmatan bas sokongan ini akan mengambil penumpang di stesen LRT/ MRT yang dinyatakan di atas dan tidak akan berhenti di stesen-stesen lain," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kata kenyataan itu, pengenalan laluan bas ekspres itu membolehkan pengguna menikmati perjalanan pulang dengan masa menunggu singkat ketika waktu puncak petang.
Media sebelum ini melaporkan masalah kesesakan luar biasa di beberapa stesen LRT pada waktu puncak yang ditimbulkan pengguna di media sosial.
Ia susulan orang ramai kembali bekerja di pejabat selepas pemansuhan kerja dari rumah.
Selain itu, kekerapan tren yang tidak konsisten juga menjadi faktor orang ramai terpaksa mengambil masa lama untuk menunggu ketibaan seterusnya.
.