Paderi didakwa 17 pertuduhan cabul, rogol remaja

Iklan
Tertuduh (dua dari kiri) menutup mukanya dengan tangan selepas dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Raub pada Jumaat.

RAUB - [DIKEMAS KINI] Seorang paderi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas 17 pertuduhan mencabul dan merogol seorang remaja perempuan bermula Disember 2019 hingga Februari 2022.

Tertuduh, Kok Chaw Fatt, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Iklan
Iklan

Tertuduh yang diwakili peguam, Lee Pee Kiat kelihatan tenang ketika membuat pengakuan tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa pada Disember 2019 bertempat di sebuah gereja di Bentong telah mencabul remaja perempuan berusia 17 tahun 2 bulan ketika itu.

Iklan

Untuk pertuduhan kedua, tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan sama pada mangsa sama pada Mei 2020 di sebuah rumah di Taman Anggerik Height di Bentong.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa pada Jun 2020 melakukan perbuatan sama serta oral seks terhadap mangsa di sebuah rumah di Taman Shahbandar Height di Bentong.

Iklan

Chaw Fatt didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebat bagi setiap pertuduhan.

Dalam pertuduhan seterusnya, pada Januari hingga Jun 2021 dan Januari hingga Februari 2022, tertuduh didakwa merogol mangsa sama di sebuah rumah di Taman Shahbandar Height di Bentong.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol memohon jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dan penjamin bercagar dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa hingga kes selesai.

Anisah juga meminta tertuduh melaporkan diri sekali sebulan di balai polis berhampiran dengan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.

Namun peguam tertuduh meminta jumlah jaminan dikurangkan kerana tertuduh masih tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya selain memberitahu tertuduh tidak memiliki pendapatan tetap, telah berkahwin dan memiliki dua anak serta isterinya bekerja sebagai kerani dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Pee Kiat juga memberitahu mahkamah, tertuduh telah tinggal di Bentong selama hampir 40 tahun dan tidak pernah menghadapi masalah dengan pihak polis dan mahkamah.

Ahmad Faizadh kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan iaitu keseluruhan berjumlah RM45,00 selain syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mangsa hingga selesai.

Ahmad Faizadh juga menetapkan sebutan semula kes itu pada 4 Ogos depan.

Kelihatan keluarga tertuduh hadir di mahkamah dan ikat jamin itu dijelaskan.