BANGKOK - THAILAND. Beberapa calon antijunta di Thailand, hari ini memfailkan aduan baharu terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) susulan pilihan raya umum kontroversi yang berlangsung pada akhir minggu lalu.
Calon dari dua parti mendakwa berlaku penyelewengan yang boleh menjejaskan kiraan undi akhir.
Seorang anggota parti Future Forward menuduh parti protentera, Phalang Pracharat meraih sokongan pegawai tempatan dengan memberikan wang tunai dan hadiah kepada mereka.
"Ia bertentangan dengan undang-undang. Ia boleh dilihat membeli undi," kata jurucakap parti itu, Pannika Wanich.
Seorang lagi calon parti itu mendakwa berlaku intimidasi di dalam sebuah pusat pengundian di Bangkok.
"Ada pegawai tentera berdiri di dalam pusat pengundian itu untuk melihat sama ada anggota mereka mengundi parti yang mereka mahukan," ujar Chris Potranan.
Sementara itu, calon parti Pheu Thai, Trirat Sirichantharopas mengemukakan aduan berhubung ketidaktepatan kiraan undi di Bangkok.
Menurut EU, mereka menerima lebih 140 aduan sejak pemilihan pada Ahad lalu. - AFP