SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pemimpin dan rakyat di dalam negara supaya tidak mengambil ringan kepentingan untuk memiliki sistem kehakiman yang bebas untuk negara demokrasi seperti Malaysia.
Menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat, Anwar turut memetik titah Sultan Perak ke-34, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang juga merupakan bekas Ketua Hakim Negara berkenaan kepentingan kebebasan badan kehakiman.
"Sultan Azlan Shah dengan bijak menyatakan, ‘Kewujudan mahkamah dan hakim dalam setiap masyarakat yang diperintah tidak membuktikan apa-apa: kualiti mereka, kebebasan mereka, dan kuasa mereka yang penting...’"
"Sultan Azlan Shah seterusnya bertitah bahawa peraturan yang melindungi kebebasan kehakiman ‘direka untuk menjamin bahawa mereka akan bebas daripada tekanan luar dan bebas daripada semua pihak berkuasa kecuali undang-undang.
"Oleh itu, mereka adalah penting untuk memelihara kedaulatan undang-undang.’” tulis beliau menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
Sultan Azlan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara dari tahun 1982 hingga 1984.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pemimpin di dalam negara termasuk rakyat memiliki tanggungjawab untuk mengukuhkan institusi kehakiman agar ia dapat memenuhi peranannya sebagai tunjang demokrasi.
"Sejak dahulu lagi, kuasa cuba melemahkan institusi demokrasi Malaysia untuk mencapai keuntungan demi kepentingan diri mereka dengan mengorbankan rakyat.
"Oleh itu, kita rakyat Malaysia harus terus berwaspada dalam mempertahankan institusi yang melindungi hak kita melalui cara yang diberikan melalui Perlembagaan daripada kuasa undi kita di peti undi dengan menggunakan hak kebebasan bersuara dijamin Perlembagaan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut memuji penganjuran Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman oleh Majlis Peguam yang menurutnya menguatkan lagi usaha serupa yang pernah dilakukan sebelum ini iaitu pada 2007, 2011 dan 2014.
Menurut beliau, tindakan itu juga juga menunjukkan bahawa pengamal undang-undang di dalam negara sememangnya memiliki kesedaran terhadap peranan kritikalnya dalam menegakkan keadilan di Malaysia.
"Ini adalah petanda positif bahawa demokrasi kita adalah kerja yang sentiasa berkembang dalam kemajuan yang diperkukuh oleh warganegara yang sangat mengambil berat tentang memelihara semangat demokrasi kita dan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.