Badan kehakiman pertahan fungsi, ikuti duluan ditetapkan

Iklan
Tengku Maimun ketika berucap pada Perasmian Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-undang Universtiti Malaysia pada Jumaat. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Badan kehakiman hanyalah mempertahankan fungsi kehakimannya dengan mengikuti duluan atau 'precedent' yang telah ditetapkan dalam membuat keputusan mengenai isu perlembagaan, kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata, mungkin ada sesetengah pihak berpendapat bahawa badan kehakiman itu lebih berkuasa berbanding sebelumnya berikutan keputusan mengenai isu perlembagaan yang dibuat badan itu kebelakangan ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam melaksanakan tugas kehakiman, hakim-hakim di Malaysia terikat dengan prinsip undang-undang sedia ada.

"Sama ada seseorang hakim itu mengguna pakai atau tidak prinsip-prinsip tersebut, tidak bermakna dia seorang yang liberal atau konservatif. Pada pandangan saya, hanya ada keputusan koheren secara undang-undang atau tidak koheren - bukan keputusan liberal atau konservatif,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) pada Jumaat yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mantan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan Tun Md Raus Sharif serta Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Memetik beberapa kes ' precedent' terbaru antaranya kes Semenyih Jaya dan Indira Gandhi yang diputuskan masing-masing pada tahun 2017 dan 2018, Tengku Maimun berkata, kedua-duanya telah diputuskan secara sebulat suara oleh lima hakim, sebelum beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Iklan

"Selanjutnya, terdapat kes yang ketiga iaitu kes Alma Nudo Atenza pada 2019 yang juga telah diputuskan secara sebulat suara oleh sembilan hakim Mahkamah Persekutuan iaitu prinsip undang-undang perlembagaan yang telah diputuskan dalam kes Semenyih Jaya dan Indira Gandhi telah diperkukuhkan.

"Prinsip-prinsip yang telah diputuskan melalui ketiga-ketiga kes di atas, yang sering kali disebut sebagai 'trilogy of cases' adalah selari dengan pemahaman saya, yang sedikit sebanyak terbentuk hasil pelajaran yang saya peroleh di fakulti ini,” katanya.

Tengku Maimun turut menekankan prinsip-prinsip perundangan yang telah diterapkan dalam dirinya sepanjang empat tahun pembelajaran di Fakulti Undang-Undang UM dan sepanjang perjalanan kerjayanya.

"Prinsip-prinsip ini termasuklah prinsip keadilan tanpa berat sebelah dan sebagai seorang hakim, kebebasan untuk membuat keputusan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan lunas undang-undang tanpa apa-apa tekanan atau pengaruh dalaman atau luaran.

"Ini juga selari dengan sumpah Jawatan dan Taat Setia seorang hakim iaitu untuk sentiasa memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Tengku Maimun turut mengimbau kenangan beliau ketika bergelar mahasiswi fakulti tersebut bermula tahun 1978, sebelum menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada tahun 1982.

Menyingkap kenangan di fakulti itu, Tengku Maimun berkata, beliau mempelajari banyak perkara, bukan sekadar dari sudut undang-undang tetapi juga nilai dan prinsip kehidupan.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pensyarah yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan membentuk pemahaman perundangan saya hari ini,” ujarnya. - Bernama