KOTA BHARU - Sering meminta maaf dan memohon doa daripada ibu bapa menjadi amalan seorang hafizah paling muda dari Kelantan yang berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran sejak usia 12 tahun.
Remaja tersebut, Wan Nur Farzana Wan Mohamad Rafi, 13, menjadi peserta termuda perempuan bagi kategori Hafazan mewakili Kelantan pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2022 yang berlangsung di Johor bermula Ahad lalu hingga Jumaat.
Ibunya, Norly Deraman, 53, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu menunjukkan minat terhadap hafalan al-Quran seawal usia lapan tahun apabila kerap menziarahi kakak sulung, Wan Nur Izzaty, 18, yang mengikuti pengajian di Maahad Wahdinyyiah Lilbanat di Dusun Rendah, Wakaf Bharu, Tumpat sebelum ini.
Katanya, ketika berusia sembilan tahun, Wan Nur Farzana menyatakan kesungguhan untuk belajar di maahad yang sama dengan kakaknya dan belajar maahad itu sebelum menyambung pembelajaran al-Quran di Akademi Al-Quran Amalillah (Akmal) di Marang Terengganu yang membolehkannya menghafal 30 juzuk al-Quran dalam tempoh setahun tiga bulan.
"Melihat kesungguhannya itu, saya dengan senang hati melepaskan dia walaupun ketika baru berusia sembilan tahun untuk berdikari dan mendalami ilmu al-Quran.
"Semasa di Akmal, seminggu sekali dia akan mengirimkan nota yang amat menyentuh hati saya iaitu dengan memohon maaf daripada kami ibu bapanya dan meminta kami sentiasa mendoakannya supaya mudah dalam menghafal al-Quran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Jumaat.
Katanya yang berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat itu, mereka sekeluarga kini tinggal di kampung suaminya di Sungai Tendong, Pasir Mas manakala Wan Nur Farzana pula menyambung pengajian dalam bidang al-Quran di Maahad Tahfiz Barniyah Putri di Manal, Tanah Merah, sejak November lalu.
Menurutnya, bapa remaja itu, Wan Mohamad Rafi Wan Deris, 57, sebelum ini pernah berdoa di hadapan Kaabah ketika mengerjakan umrah di Makkah pada tahun 2015, agar anak-anak mereka suatu hari nanti dapat menjadi hafiz dan hafizah al-Quran.
Anak kedua pasangan itu, Wan Muhamad Ammar, 16, juga belajar dalam bidang agama di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (A) Tok Bachok, Bachok.
"Wan Nur Farzana bercita-cita untuk membina sebuah maahad dan kami sekeluarga amat menyokong impian itu serta akan membantunya untuk merealisasikan hasrat tersebut.
"Saya sebagai ibu bapa sentiasa mendoakan anak-anak dan menyarankan kepada semua ibu bapa agar mendedahkan anak-anak mereka dengan ilmu al-Quran sejak daripada usia mereka masih kecil berbanding membiarkan anak-anak ‘tenggelam’ dengan pelbagai mainan video atau gajet masa kini,” katanya.