Nilai tambah Harimau Malaya

Iklan
Dion Cools

HASRAT Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mencari lebih ramai pemain warisan bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya menjelang kejuaraan Piala Asia 2023, mendapat respon positif legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail.

Malah menurut Jamal, tindakan FAM itu tepat pada masanya apabila para pemain warisan yang menggalas cabaran negara pada ketika ini beraksi lebih baik berbanding pemain naturalisasi yang disifatkannya tidak memberi impak besar kepada pasukan kebangsaan.

Iklan
Iklan

Malah tegasnya lagi, kehadiran pemain warisan baharu juga secara tidak langsung dapat membantu lagi meningkatkan lagi prestasi para pemain tempatan sekali gus mampu memajukan lagi ekosistem bola sepak negara.

"Apa yang Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin nak buat (cari lebih ramai pemain warisan berbakat) itu saya setuju sangat berbanding menaturalisasikan para pemain luar. Malah pemain warisan seperti Corbin, Dion dan Matthew Davies telah menunjukkan bahawa mereka juga merupakan pemain yang bagus.

Iklan

"Malah boleh saya katakan, dengan penambahan lagi beberapa pemain warisan, saya fikir ia akan bantu memberi nilai tambah kepada skuad Harimau Malaya dalam mengharungi kempen Piala Asia 2023.

"Pada masa sama, para pemain tempatan juga dapat belajar sesuatu yang baharu daripada para pemain warisan sekali gus membantu mereka untuk bermain dengan lebih baik lagi pada masa depan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Iklan

Untuk rekod, antara pemain warisan yang menjadi tonggak skuad kendalian Kim Pan-gon yang layak secara merit ke Piala Asia 2023 adalah Darren Lok, La’vere Corbin-Ong, Matthew Davies, Junior Eldstal dan Dion Cools.

Selain nama tersebut terdapat beberapa individu yang berpotensi untuk dijadikan pemain warisan antaranya anak beranak Wan Kamal iaitu Wan Kuzain dan Wan Kuzri, Kobe Jae Chong dan Jaami Qureshi.

Pada masa sama, Jamal juga menasihati FAM supaya tidak terlalu bergantung kepada para pemain warisan bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan sebaliknya perlu memperkasakan lagi program akar umbi bagi melahirkan bakat baharu bola sepak.

"Bagi saya penggunaan pemain warisan ini adalah solusi bagi tempoh jangka pendek.

"Bagi tempoh masa yang panjang, FAM dan pasukan-pasukan lain perlu turut memberi tumpuan kepada pembangunan akar umbi, supaya pada masa akan datang kita tidak akan ketandusan bakat dalam sukan bola sepak,” katanya.