SHAH ALAM - Gagal memastikan penyediaan sajian dan premis dalam keadaan bersih menjadi faktor 26 kedai makanan di daerah ini diarah tutup dalam tempoh tiga bulan lalu.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 117 kompaun dan 88 notis turut dikeluarkan pihaknya selepas pemeriksaan dilakukan di 60 premis makanan.
Katanya, sebanyak 169 kerusi dan 55 meja turut disita dalam operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan dijalankan pihaknya.
"Dalam operasi pemeriksaan kebersihan premis makanan dilaksanakan di sekitar Seksyen 23 untuk semalam saja, tiga daripada 12 premis diperiksa disita dengan 15 kompaun serta notis dikeluarkan. Turut ditemui ketika pemeriksaan adalah najis tikus.
"Premis ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisyemen Makanan MBSA 2007,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan, pemilik premis didapati masih mengabaikan kebersihan khusus dari aspek penyediaan dan penyimpanan makanan, penggunaan peralatan kurang bersih, kebersihan tandas kurang memuaskan dan pekerja tidak mempunyai suntikan TY2 (anti-typhoid).
"Kami harap pengusaha premis makanan jaga kebersihan serta amalkan pengendalian makanan yang betul serta memastikan pembantu kedai mendapat suntikan anti-Typhoid, menghadiri kursus pengendalian makanan dan mendaftar untuk memiliki kad pengendalian makanan yang dikeluarkan oleh pihak MBSA,” katanya.