Tambah struktur rumah: MBPJ runding dengan pemilik sebelum roboh

Iklan
Mohamad Azhan (tengah) bersama para penerima sumbangan Program PJ Prihatin di PPR Lembah Subang 1, di sini pada Sabtu.

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan berunding dengan pemilik rumah yang menambah struktur binaan rumah mereka walaupun tindakan tersebut menyalahi undang-undang.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir berkata, pertimbangan tersebut dibuat kerana kegiatan menambah struktur binaan rumah bukan sesuatu yang baru terjadi, malah ia dilakukan oleh ramai orang sejak dulu lagi.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau tetap menegaskan pemilik rumah yang ingin membina struktur tambahan di kediaman mereka perlu membuat permohonan kepada MBPJ kerana ia melibatkan aspek keselamatan pemohon dan penduduk.

"Kita cuba membantu komuniti kerana perkara ini berlaku lama sejak dulu, kita sebenarnya mewarisi apa yang berlaku bukan 10 tahun lalu, malah lebih daripada itu.

Iklan

"Dalam masa sama, aspek keselamatan (diutamakan) bila ada lebihan (struktur tambahan), sebab itu mereka mesti mohon daripada kita kerana kita akan buat timbang tara dari sudut keselamatan penduduk dan pemohon sendiri.

"Pihak MBPJ harus ada tindakan konkrit yang boleh menyelesaikan masalah ini secara terus. Cuma kaedah (tindakan yang wajar diambil) masih dalam peringkat kajian," jelasnya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program PJ Prihatin di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohamad Azhan berkata, MBPJ sebagai sebuah organisasi perlu menggunakan pendekatan berbeza untuk berunding dengan pemilik rumah yang menambah struktur di kediaman mereka kerana banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum tindakan meroboh dilakukan.

Mohamad Azhan (tengah) ketika ditemui media di Program PJ Prihatin di PPR Lembah Subang 1, di sini pada Sabtu.

Ujarnya, walaupun mungkin sesetengah pemilik tidak akan mendapat keputusan menang-menang, pihak MBPJ sentiasa memikirkan solusi terbaik untuk menangani perkara tersebut.

"Kalau ikut akta, memang perlu roboh sahaja. Tapi sekarang kita berurusan dengan manusia yang mempunyai perasaan dan emosi, jadi bagaimana kita nak tangani masalah ini.

"Oleh itu, kita cuba yang terbaik untuk selesaikan sebaiknya. Mungkin ada situasi menang-menang, ada tempat tidak boleh begitu," katanya.

Pada program sama, sebanyak 22 keluarga di PPR Lembah Subang 1 menerima bantuan sumbangan daripada MBPJ berupaya keperluan asas dan barangan elektrik.

Mohamad Azhan berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 150 keluarga yang menerima sumbangan sama menerusi Program PJ Prihatin sempena Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya ke-16.