KUALA LUMPUR - Sebuah gudang di Jalan Selising, Taman City dekat sini terbakar sehingga 100 peratus dalam satu kebakaran awal pagi Sabtu.
Komander Operasi, Mohd Hafizan Hassan berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS999 pada jam 1.33 pagi.
Beliau berkata, seramai 57 anggota dari tujuh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikerah ke lokasi kejadian untuk mengawal dan memadam kebakaran.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, api marak membakar sebuah gudang penyimpanan yang dianggarkan berkeluasan 30.4 x 45.7 meter persegi.
"Pasukan bomba membuat pemadaman secara 'offensive' dan 'defensive' sebelum kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.18 pagi," katanya dalam kenyataan dikongsi PGO Kuala Lumpur di laman Facebooknya pada Sabtu.
Mohd Hafizan berkata, kemusnahan kebakaran dianggarkan 100 peratus namun kejadian tidak melibatkan mangsa dan punca kebakaran masih dalam siasatan