Agrobank dilantik sebagai jawatankuasa ADFIMI

Iklan
Tengku Ahmad Badli Shah

SHAH ALAM - Agrobank dipilih sebagai jawatankuasa pengurusan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Nasional di Negara Anggota Bank Pembangunan Islam (ADFIMI) pada 2 Jun lalu.

Menurut kenyataan dikeluarkan bank tersebut pada Sabtu, pemilihan dibuat semasa Mesyuarat Perhimpunan Agung ADFIMI ke-39 untuk tempoh tiga tahun.

Iklan
Iklan

Menerusi jalinan ini, Agrobank akan terus komited bekerjasama dengan ADFIMI bagi memperkukuhkan jaminan keselamatan dan kemampanan makanan negara.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dilantik sebagai Naib Pengerusi ADFIMI.

Iklan

"Bagi pihak Agrobank, saya dengan rasa rendah diri dan berbesar hati kerana diberi kepercayaan oleh ADFIMI untuk menerajui persatuan ini.

"Saya percaya, Agrobank dipilih untuk menjadi sebahagian daripada ADFIMI di atas komitmen berterusan kami sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang menyokong aktiviti pertanian bagi mengukuhkan lagi kemampanan dan keselamatan makanan makanan di Malaysia,” katanya.

Iklan

Menurut Ahmad Badli Shah,usaha berterusan Agrobank menerusi program pembiayaan rantaian penuh adalah sejajar dengan Polisi Agro Makanan Negara untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) makanan.

Tambah beliau, untuk membantu pembentukan masa hadapan sektor pertanian di Malaysia, Agrobank memainkan peranan penting untuk memberikan perkhidmatan kepada golongan yang kurang mendapat perhatian sekali gus memperkasa dan menyokong keseluruhan aspek rantaian nilai pertanian.

"Ini bagi memastikan industri kekal berdaya saing dan membawa impak yang positif kepada ekonomi dengan memperkukuhkan keselamatan makanan negara selaras dengan prinsip pengantaraan berasaskan nilai (VBI) diamalkan Agrobank,” katanya.

Menurut beliau lagi, Agrobank sentiasa menggalakkan pelanggannya yang terlibat dalam pertanian seperti tanaman makanan, ternakan dan akuakultur untuk mendapatkan pensijilan amalan baik.

Kata beliau, menerusi pensijilan berkenaan, usahawan tani bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti pertanian, malah dapat menghasilkan kualiti lebih baik di samping memelihara alam sekitar.

Dalam pada itu Tengku Ahmad Badli Shah berhasrat mengukuhkan kerjasama ekonomi dan meluaskan pembiayaan perdagangan serta sokongan pelaburan kepada usahawan tani.

"Agrobank membantu menghubungkan mereka dengan pemain industri daripada kalangan bank ahli ADFIMI di rantau masing-masing. Kami juga akan membantu memudahkan perdagangan dua hala barangan dan perkhidmatan untuk membangunkan peluang pertumbuhan usahawan tani dan memangkin aliran perdagangan serta pelaburan lebih utuh antara rantau terutam di Malaysia.

"Ini bagi membina daya tahan ekonomi serantau yang baik dan memastikan pembangunan lebih mampan,” katanya.

Menurut beliau, dengan pemilihan itu juga akan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk industri halal, keselamatan makanan dan perbankan Islam.

"Ia akan memberi manfaat kepada pemain industri dan memberi peluang kepada mereka untuk meneroka penggunaan teknologi terkini serta amalan terbaik berhadapan dengan cabaran baharu terutama dalam sektor pertanian dan makanan,” katanya.

Beliau berharap setiap ahli persatuan dapat bekerjasama meningkatkan akses pembiayaan kepada IKP di peringkat global melalui jalinan kerjasama yang bermanfaat, perkongsian maklumat dan khidmat nasihat kepada pemain dalam ekosistem ini.