TAIPING - Kecundang di majlis tilawah dan hafazan peringkat negeri ketika berusia 18 tahun bukan penghalang bagi qari dari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan untuk bangkit semula sebelum dinobatkan johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Johor Bahru pada Jumaat.
Pemuda berusia 24 tahun dari Taiping, Perak berkata, episod pada enam tahun lepas itu sebaliknya tidak mematahkan semangatnya untuk terus menyertai tilawah dengan dorongan dan doa kedua ibu bapanya.
"Kedua ibu bapa, Mohamad Ramlan Dali, 50, dan Umi Kalsum Sukri 46, adalah sebagai penggerak kepada kejayaan ini.
"Saya mula belajar taranum pada usia 14 tahun daripada beberapa orang guru supaya saya dapat menguasai taranum seperti baiyati, nahwan dan sebagainya,” katanya kepada Bernama pada Sabtu.
Pencapaian tersebut membolehkan Aiman Ridhwan membawa pulang wang tunai RM15,000, piala iringan dan tambahan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan ibadah haji.
Naib johan pula disandang Muhammad Umar Syazuli Mohd Tahir qari dari Pulau Pinang dan qariah, Sarrul Munirah Haris dari Melaka, yang masing-masing menerima RM10,000, wang tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.
Aiman Ridhwan, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, menuju ke hadapan beliau akan membuat persiapan untuk bertalaqqi (berjumpa dan berguru) dengan beberapa bekas johan tilawah bagi memantapkan penguasaannya.
"Cabaran pada tilawah al-Quran peringkat antarabangsa memerlukan penguasaan bacaan yang lebih baik kerana saingan berhadapan dengan qari dan qariah antarabangsa daripada pelbagai negara,” kata anak kepada kakitangan kesihatan yang kini menetap di Kampung Potong Pinang, Pokok Asam di sini.
Anak kedua daripada dua beradik itu akan menggunakan wang kejayaan dimenangi itu untuk membawa keluarganya menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah pada masa akan datang. - Bernama