BANTING - Penganjuran program ASEAN Digital Cultural Ambassadors Transformation Programme 2022: Unity in Bytes (UIB) adalah langkah kepada pembudayaan celik digital khususnya golongan muda bagi beradaptasi serta berdaya tahan dalam mempromosikan pelancongan serantau.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, program pertukaran budaya kerjasama kementeriannya dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dijangka menjadi pembuka jalan kepada pembangunan diri belia dan pengamal budaya dalam berdepan situasi Covid-19 yang memerlukan kreativiti dan inovasi untuk mempromosikan keunikan serantau.
"Saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa program ini bertujuan memupuk belia dan pengamal budaya supaya dapat menyesuaikan diri, berdaya tahan dan celik teknologi. Unsur ini sangat relevan dalam situasi semasa dengan kreativiti dan inovasi adalah kritikal ke arah menyelesaikan cabaran sosioekonomi dihadapi.
"Unity in Bytes 2022 adalah satu usaha untuk menggalakkan pertukaran idea dan pengalaman dalam ruang budaya. Ia menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan integrasi diplomasi budaya digital,” katanya dalam ucapan pembukaan perasmian program tersebut di Perkampungan Budaya Mah Meri pada Sabtu.
Turut hadir Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor.
Santhara berkata, program dijalankan di sekitar Selangor dan Melaka itu membabitkan siri seminar dan penyemaian budaya melibatkan 20 Duta Budaya Digital dari negara ASEAN yang menyertai program selama enam hari bermula 17 Jun lepas serta dibiayai melalui geran Jawatankuasa ASEAN Mengenai Kebudayaan dan Maklumat (ASEAN-COCI).
"Peserta juga akan terlibat dalam seminar dan bengkel mengenai ekonomi budaya serantau serta pembelajaran langsung untuk mencipta kandungan digital bagi mempromosi dan menyumbang kepada pemulihan sosioekonomi serantau.
"Peranan Duta Budaya Digital yang mahir mengoptimumkan media sosial seperti YouTube, TikTok, Facebook, Instagram dan Twitter adalah penting untuk 'menunjukkan dan bercerita' tentang sejarah kita, lokasi pelancongan belum diterokai serta keunikan seni dan warisan masyarakat kita,” katanya. - Bernama