GARA-GARA mengalami kecederaan pada tumit dan buku lali, bekas pemain tenis wanita nombor satu dunia, Naomi Osaka mengesahkan dia tidak beraksi pada kejohanan Wimbledon 2022 yang dijadualkan berlangsung mulai 27 Jun hingga 10 Julai depan.
Menerusi satu klip video di media sosial, Osaka dilaporkan berkata, dia tidak mungkin akan menyertai Wimbledon kali ini kerana kecederaan yang dialaminya itu.
"Saya berlatih dengan menggunakan treadmill bawah air bagi membantu melancarkan pergerakan bahagian pergelangan kaki.
"Kecederaan yang saya alami ini masih belum pulih sepenuhnya dan saya terpaksa menarik diri bagi mengelakkan kecederaan itu menjadi lebih teruk.
"Oleh itu, rasanya kita akan berjumpa di lain masa selepas ini,” katanya menerusi klip video berkenaan.
Untuk rekod, pemenang empat kali gelaran Grandslam itu mula mengalami kecederaan berkenaan ketika beraksi di Madrid hingga menyaksikannya terlepas untuk menyertai kejohanan WTA 1000 di Rome.
Malah, akibat kecederaan berkenaan Osaka turut gagal mempamerkan aksi terbaik pada Terbuka Perancis baru-baru ini dan menyaksikannya tersingkir seawal pusingan pertama.
Sementara itu, Osaka turut membayangkan dia tidak pasti sama ada masih boleh beraksi di gelanggang rumput selepas ini.
Katanya, beraksi di gelanggang rumput mempunyai risikonya yang tersendiri dan dia turut bimbang sekiranya kecederaannya berulang.