JOHOR BAHRU - Kajian dan penelitian telah dibuat kerajaan sebelum had umur penunggang motosikal yang membawa barangan termasuk kenderaan p-hailing diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, langkah terbabit dilakukan bagi membolehkan golongan remaja terbabit sama dalam aktiviti ekonomi gig yang berkembang meluas di negara ini.
"Kajian dibuat Bahagian Darat Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Kementerian dapati ramai remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berusia 18 tahun berhajat sangat nak jadi penunggang p-hailing.
"Namun disebabkan sekatan umur lesen vokasional hanya boleh dimohon mereka yang berusia 21 tahun ke atas, maka golongan berusia 18 tahun hingga 20 tahun rasa dipinggirkan.
"Kerajaan berpandangan sudah sampai masanya had umur p-hailing diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun berdasarkan perkembangan pantas sektor ekonomi gig bukan sahaja di bandar malah kawasan kampung," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelepasan perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau di JB Sentral, di sini pada Ahad.
Pada Sabtu, kerajaan dilaporkan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dalam sidang Parlimen tidak lama lagi.
Ka Siong berkata, antara pindaan terbaharu itu ialah had umur pemegang Lesen Vokasional untuk penunggang motosikal yang membawa barangan termasuk kenderaan p-hailing juga akan dipinda kepada tidak kurang daripada 18 tahun daripada 21 tahun ketika ini.
Jelasnya pindaan itu, bagi membolehkan lebih ramai mempunyai pilihan untuk memperoleh pendapatan tambahan melalui perniagaan p-hailing dan platform penghantaran barangan lain.